Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penganjur acara bersama Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bahawa perdana menteri terpaksa membatalkan kehadiran di saat-saat akhir susulan nasihat polis.

Penganjur malah berkata Najib sudah pun hampir hendak bergerak ke acara itu ketika dimaklumkan arahan Tan Sri Khalid Abu Bakar itu.

“PM sudah hendak bergerak dah,” kata Pengerusi Sukaguam Datuk Khairil Anuar Rahmat.

Program terus terang itu hari ini bertukar menjadi acara pengkritiknya Tun Dr Mahathir Mohamad yang sempat berucap sebentar.

Beliau bagaimanapun diminta berhenti oleh pihak polis dan diiring supaya beredar daripada Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Menjelaskan kehadiran Mahathir, Khairil berkata perdana menteri 22 tahun itu tidak diundang dan mungkin hadir kerana kehadirannya sudah dispekulasi meluas sejak semalam.

“Tun M tahu dia tidak diundang. Dia tahu, tapi dia beritahu dia perlu datang untuk diberi peluang bercakap dan bertemu orang ramai.

“Tun M hadir sebab (spekulasi kehadirannya) viral (tersebar meluas) sejak petang semalam,” katanya.

Siapa iring Dr M ke pentas?

Beliau juga berkata Mahathir boleh hadir sekiranya bernaung bawah mana-mana NGO.

Khairil ketika ditanya siapa yang menjemput Mahathir hanya menjawab “bukan saya”.

Malah pihaknya sendiri tidak pasti siapa yang mengiringi Mahathir sehingga ke pentas.

Jelas Khairil lagi Mahathir tiba seawal jam 8.45 pagi awal dan sejurus selepas itu, penganjur dihubungi polis atas dasar keselamatan.

Akibat terdapat kekecohan di luar dewan, pihak polis mengarahkan program itu ditangguh.

Justeru, Sukaguam berjanji akan mendapatkan tarikh yang baru dan menjemput Najib hadir dalam sesi dialog akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS