Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasal apa nak takut pada saya, soal Mahathir
Diterbitkan:  Jun 5, 2015 11:30 AM
Dikemaskini: 7:09 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada sebab untuk orang ramai takutkan beliau selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak hadir ke dialog terus terang  "Nothing to Hide" berkaitan 1MDB di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya orang biasa saja, saya bukan bawa senjata pun. Saya bukan boleh buat apa-apa pun.

“Pasal apa orang nak takut pada saya, semua ini takut atau tidak?” katanya dalam sidang media selepas mengambil alih pentas acara itu.

Mahathir juga secara sinis memberitahu pemberita bahawa Najib mungkin mempunyai perkara penting lain berbanding bertemu rakyat.

“Saya rasa dia mungkin sibuk dengan kerja-kerja rasmi, yang lebih penting daripada berjumpa dengan rakyat,” katanya.

Najib hari ini sepatutnya hadir dalam dialog terus terang bersama aktivis NGO dalam acara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Hadir bergaya

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun pagi ini mengumumkan pembatalan program itu atas alasan keselamatan.

Atas sebab itu Najib tidak hadir dalam program yang kemungkinan besar mempertembungkan beliau dengan Mahathir, pengkritik utama pentadbirannya itu.

Mahathir pula hadir penuh bergaya selepas dispekulasi meluas akan berbuat demikian semalam.

Beliau malah sempat berucap ringkas kepada orang ramai di atas pentas sebelum diminta berhenti oleh polis dan diiring supaya beredar.

Dalam ucapan itu, Mahathir berkata beliau sebelum ini menyokong Najib hanya kerana terhutang budi dengan bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein, yang juga perdana menteri kedua.

Mahathir juga berkata dasar-dasar Najib tidak membawa kebaikan kepada negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS