Beberapa perwakilan dalam Muktamar PAS kali ini menyatakan rasa tidak senang dengan budaya 'chai' atau senarai pilihan yang diamalkan meluas dan terbuka dalam pemilihan parti itu.
Mereka berpendapat budaya baru itu tidak patut dibenarkan kerana ia didakwa mengikiskan kebebasan perwakilan untuk memilih.
"Mengikut pengalaman saya dalam empat kali Muktamar dan tiga kali pemilihan PAS, ini kali pertama saya lihat ada budaya senarai blok dalam PAS.
"Bagi saya perkara ini tak sepatutnya berlaku kerana PAS mengamalkan demokrasi dan bebas memilih sesiapa,” kata perwakilan Segamat Mohd Hasbi Nordin ( kanan ) kepada Malaysiakini sebelum pemilihan bermula.
Mohd Hasbi yang juga naib yang dipertua PAS Segamat, berkata terpulang kepada kematangan perwakilan untuk menentukan sama ada hendak mengikuti senarai itu atau tidak.
"Namun apabila budaya ini meresap dalam sebuah parti Islam, ia boleh mendatangkan perkara tak sihat dan mencalarkan hubungan antara ahli dalam PAS," tegasnya.
Merujuk keputusan pemilihan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, Mohd Hasbi berpendapat senarai pilihan tersebut berjaya mendatangkan kesan dan mungkin akan mempengaruhi pemilihan muktamar penuh.
"Dengan keputusan sayap Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, kita lihat kemenangan kepada Team proulama atau Team A.
"Kita rasa trend itu akan berlaku juga di muktamar nanti," jelas Mohd Hasbi.
Pengundian jawatan tertinggi PAS pusat sedang berlangsung dan keputusan dijangka diumumkan malam ini.
Berdasarkan senarai calon, berlaku pertembungan jelas antara dua kem dalam PAS antara kumpulan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pencabarnya Ahmad Awang.
Dewan Ulama semalam mengejutkan banyak pihak dengan memuat naik 'chai' mereka di Facebook rasmi, amalan yang jarang kelihatan dalam politik Malaysia.
Ikut kebolehan, bukan blok
Sementara itu, perwakilan Kuala Selangor Mohd Fakaruddin Ismail pula berkata senarai pilihan atau 'chai' bukan budaya PAS.
Katanya, pemilihan hendaklah dibuat berdasarkan kebolehan dan bukan berdasarkan senarai blok.
"Saya berharap perwakilan akan bertindak cerdik dan berfikir untuk masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat.
"Kita kena memilih pemimpin mengikut kebolehannya, contohnya sebagai ahli Parlimen atau pimpinan masyarakat," katanya.
Katanya juga, budaya 'chai' ini tidak dominan pada masa dulu tetapi makin menonjol dalam pemilihan kali ini.
"Saya tak ada baca (senarai blok itu), saya tak akan dipengaruhi, masa ini pun tak terima apa-apa SMS mengenainya," katanya.
Budaya tak betul
Perwakilan Bagan Serai Ramli Tusin turut berpendapat budaya 'chai' tidak betul.
"Bagi saya, saya tak semak, saya undi sendiri," jelasnya apabila ditemukan.
Katanya, budaya ini sedikit sebanyak mempengaruhi trend pemilihan perwakilan tetapi tidak terlalu serius.
"Ini kali pertama berlaku, lain kali janganlah, kita perlu ubah suai.
"Jangan sampai kompleks macam ini," kata Ramli yang juga yang dipertua PAS Bagan Serai.
Terdapat juga sesetengah perwakilan enggan memberi komen kepada isu 'chai' apabila ditemukan.