Berkuat kuasa tengah malam ini, harga petrol akan naik 10 sen seliter.
Kedua-dua RON95 dan diesel akan berharga RM2.05 liter manakala RON97 akan berharga RM2.35 per liter.
Semua harga termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang mana berkenaan.
"Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Jun ini," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, lapor Bernama .
Harga minyak sebelum ini tidak berubah selama tiga bulan berturut-turut dengan petrol RON95 berharga RM1.95 seliter, RON97 pada RM2.25 seliter dan diesel pada RM1.95 seliter.
Sementara itu, dalam reaksi segeranya, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata beliau berharap harga barang tidak naik ekoran kenaikan bahan bakar itu.
"Bila harga minyak turun, harga barang tak turun. Bila harga minyak dunia naik, maka minyak Malaysia juga naik. Harga barang jangan pula dinaikkan!" kata beliau dalam Twitter nya.