Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keceluparan Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad menggelar kumpulan Search sebagai "hantu" menyebabkan dia kemudian ditarbiah vokalis band rock berkenaan, Amy.

Ia bermula apabila Muhammad Lukman memuat naik postingnya di Facebook menggunakan akaun motivasilukman.com untuk memberi komen mengani sambutan Festival Belia Putrajaya yang diadakan selama tiga hari mulai 22 Mei lalu.

Muhammad Lukman menulis: “Setelah bertahun-tahun negara sambut hari belia negara, belia-belia kita menjadi teruk kerana hantu-hantu macam ini yang menjadi pengisinya".

Komennya itu diiringi gambar kumpulan Search yang turut terbabit membuat persembahan dalam program tajaan kerajaan itu.

Bagaimanapun, Muhammad Lukman kemudian memadamkan posting berkenaan selepas mendapat pelbagai reaksi negatif daripada peminat kumpulan lagenda rock berkenaan.

Search membuat persembahan pada hari terakhir festival belia pada Ahad lalu.

Ketika memberi reaksi kepada kenyataan Muhammad Lukman, Amy memetik baris lirik lagunya Meniti Titian Usang untuk menegur pemimpin ISMA yang dilihat memperkenalkan dirinya sebagai pakar motivasi itu.

Belia jangan dihina

Dalam Instagram, Amy menulis: “Kertas putih salju ku coretkan kedukaan ku, hitam dan kelabu ada lah warna dalam hidup ku.

“Apa kah jika lagu-lagu yang ku syairkan itu dapat mengembira hati mereka (belia) dan dijadikan sebahagian perjalanan hidup mereka untuk berjaya itu satu dosa?

“Jangan dihina belia-belia itu kerana mereka itu sebahagian dari aku dan aku juga sebahagian dari mereka yang punya cita. Tutur kata seorang motivasi itu seharusnya indah lagi mulia”.

Muhammad Lukman kemudian memuat naik status terbarunya dengan berkata, dia akan berjumpa dengan Amy petang ini bagi meminta maaf.

Muhammad Lukman turut memohon maaf kepada peminat kumpulan itu sekiranya tersinggung dengan statusnya sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas Muhammad Lukman menaikkan status berkenaan, beliau tetap dikutuk peminat Amy Search. Antaranya:

Az Rule: lain kali peka sikit dengan isu anak muda...kalau kamu kutuk KPop, confirm  kena sanjung, ini kamu silap kutuk pula bro. Tak apalah, dah berani nak minta maaf kan, baguslah tu. Moga banyak job lepas ini ya.

Amerol Gorgeus: Hi lukman, Makan apa tengahari ni? Mesti dah kenyang dengan kata cacian kan... Emmm kesian.Lukman pergi ambil wudhuk tau, berzikir banyak banyak. Lukman tau kan berzikir ni ubat rohani?

Sab Bahri: Bukan minta maaf dekat abang Amy saja bro, yang kau panggil hantu-hantu sekali dengan abang Hamzah (kid), abang Din, abang Nasir, (dan) dengan abang Yazid.. Minta maaf sekali dengan mereka ok. Semoga dipermudahkan.

Izham Basir: lagu Search ada yang berunsur ketuhanan, seperti lagu "Teguh". hormatilah profesion masing-masing dengan caranya tersendiri.

Zairul Addry: Salam encik pakar motivasi, anda tulis kelihatan macam tokoh masyarakat, bangkitlah, baca buku sejarah dulu pasal kumpulan Search. Bagaimana nak memotivasikan orang kalau kita sendiri cakap begitu? tepuk dada tanya selera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS