Siang timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin disanjung selepas tegas terhadap syarikat kontroversi 1MDB tetapi di sebelah malam lain pula halnya.
Datuk Dr Puad Zarkashi, bekas timbalannya di kementerian pendidikan, malam tadi memuat naik sebuah tulisan dan gambar di Internet yang dilihat memalukannya.
Dengan kapsyen bertulis “masih belum terbela”, Puad memuat naik gambar dua orang murid dengan meja yang amat buruk dan rosak di sebuah sekolah di Keningau, Sabah.
“Ada orang posting pada saya gambar sebuah sekolah di Keningau yang terlalu daif. Puncanya pegawai yang bertanggungjawab tidak turun ke bawah.
“Kenapa mereka tidak turun ke bawah? Kerana menteri dan timbalan menteri juga malas turun ke bawah,” tulisnya, yang dilihat memberi tamparan hebat kepada Muhyiddin.
Justeru, kata Puad ( atas ) lagi, susulan sikap itu, perkara yang berlaku di bawah tidak diketahui.
Beliau juga membangkitkan pelbagai lagi masalah termasuk asrama dan rumah guru yang daif di kawasan pedalaman ketika kerajaan menguar-uarkan perkara yang “bunyi cantik di atas”.
“Sepatutnya bila TPM jadi menteri pelajaran hampir dua penggal, maka cepatlah terbela sekolah sekolah daif terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.
Tulisan Puad itu dilihat sebagai reaksi susulan pendirian keras Muhyiddin melalui sebuah rakaman video bocor di Internet yang memaparkan pendiriannya supaya kesemua lembaga pengarah 1MDB dipecat susulan pelbagai kontroversi.
Langkah Puad itu juga dilihat antara reaksi tidak senang dalam Umno terhadap sikap Muhyiddin yang dilihat tidak begitu senada dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang berdepan asakan keras Tun Dr Mahathir Mohamad.
MASIH BELUM TERBELA. Ada orang posting pada saya gambar sebuah sekolah di Keningau yang terlalu daif. Puncanya pegawai...
Posted by DrPuad Zarkashi on Wednesday, 20 May 2015