Tokoh wartawan A Kadir Jasin, antara pengkritik utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata terdapat pihak harus disingkir daripada 1MBD.
Mengulas pendirian tegas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ( bawah ), Kadir berkata tanpa tindakan itu syarikat itu tidak dapat diselamatkan dan kebenaran diserlahkan.
“Mustahil sebarang usaha untuk menyingkap kebenaran berkaitan 1MDB boleh berjaya atau masalahnya boleh diselesaikan jika pihak bertanggungjawab masih ada di situ.
“Pihak itu harus dipecat atau letak jawatan, termasuk presiden (Arul Kanda). Mereka tidak perlu tunggu.
“Mustahil untuk menyiasat dan selamatkan syarikat itu jika orang yang sama memegang buku rekodnya,” katanya kepada Malaysiakini .
Ketika Najib membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen hari ini, sebuah video dimuat naik di Internet yang memaparkan ucapan Muhyiddin yang mahu semua lembaga pengarah 1MDB dipecat.
Elak manipulasi data
Beliau kemudian menjelaskan perkara itu cuma pandangannya dan bukan perkara baru.
Kenyataan itu dilihat memberi tamparan kepada Najib memandang 1MDB lahir hasil cetusan ilhamnya.
Mengambil contoh insiden kapal terbang AirAsia terhempas Disember lalu, Kadir ( kiri ) berkata Indonesia mengambil langkah pertama dengan menggantung pengawal trafik udara.
“Ini bagi menggelakkan manipulasi data.
“Jadi dalam 1MDB, bagaimana kamu hendak siasat apabila orang yang sama berada di situ, pegang semua buku dan rekod?
“Apa yang Muhyiddin kata hanya sedikit daripada apa yang patut dilakukan bagi memastikan siasatan adil dijalankan,” tambahnya.