Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengaku telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, katanya, Najib tidak membuka surat itu dan berjanji untuk menangani rungutannya dan mentransformasikan Parlimen.
Justeru, Pandikar berkata beliau memutuskan untuk kekal sebagai speaker.
Pandikar ( kanan ) berkata demikian dalam sidang media di rumahnya di Kuala Lumpur hari ini.
“Saya tidak akan tunduk kepada eksekutif jika pembaharuan yang saya sebut tadi tidak ditunaikan dalam tempoh yang sederhana sebelum parlimen dibubar, saya sendiri akan mengumumkan peletakan jawatan saya.
“Tak perlu orang lain (umumkan),” katanya.
Pandikar tidak hadir ke Parlimen hari ini walaupun berbuat demikian semalam.
Sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pandikar akan meletakkan jawatan kerana tidak puas hati dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Pandikar menafikan sebelum ini. Mahathir bagaimanapun tetap berkeras bahawa Pandikar benar-benar memberitahunya perkara itu dalam pertemuan mereka sebelum ini.