Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak terus menyerang Dr Mahathir Mohamad dengan menimbulkan keraguan mengapa bekas perdana menteri itu membangkitkan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang berlaku lapan tahun lalu.
Kes Altantuya adalah yang pertama tersenarai dalam soalan lazim (FAQ) dalam blog perdana menteri itu
Dalam jawapannya, Najib mempersoalkan mengapa "individu berpengaruh (dengan) pelbagai sumber" membangkitkan dan mengaitkan beliau dalam kes tersebut.
"Jika mereka percaya (berhubung dakwaan penglibatan Najib) adalah benar, mengapa mereka tidak membangkitkannya apabila isu itu meletus lapan tahun lalu? Kenapa sekarang?" soal Najib.
Beliau berkata adalah "tidak adil" meminta kerajaan menyiasat semula kes itu untuk mencari siapa yang mengarahkan pembunuhan tersebut, sedangkan proses undang-undang telahpun habis.
"Saya tidak terlibat dan tidak tahu apa-apa mengenainya. Mahkamah telah menentukan siapa yang bersalah atas pembunuhan itu. Hal itu harus menjadi pengakhiran cerita.
"Walaupun perbicaraan mahkamah dan penghakiman yang panjang, masa yang mencukupi diberikan kepada perayu untuk kes mereka didengar dan diadili, sumpah laknat saya, penafian berulang saya telah dibuat, penjelasan umum yang disediakan oleh Razak Baginda, sesetengah orang terus mempersoalkan isu ini dan terus mencuba untuk mengaitkan saya."
Abdul Razak Baginda adalah sekutu Najib, yang telah dibebaskan daripada bersubahat membunuh wanita Mongolia itu.