Pesawat VIP baru yang kontroversi milik kerajaan telah melakukan penerbangan pertamanya semalam selepas tiba di Malaysia awal bulan ini.
Menurut laman web penjejak penerbangan FlightRadar24, jet dengan nombor pendaftaran 9M-NAB itu terbang dari Subang ke Kuala Terengganu pada jam 4.32 petang - yang memakan masa perjalanan hampir sejam.
Pesawat itu kemudian pulang kembali ke Subang dari Kuala Terengganu pada jam 7.10 malam, menjadikannya perjalanan dua hala di bawah nombor penerbangan NR1.
Nombor penerbangan itu sebelum ini digunakan hampir eksklusif oleh satu lagi pesawat kerajaan yang bernombor pendaftaran 9M-NAA walaupun NR1 bukan satu-satu nombor penerbangan yang pernah digunakan oleh pesawat tersebut.
Sebelum ini, pesawat baru 9M-NAB itu telah didaftarkan dengan nombor pendaftaran Malta 9H-AWK dan didakwa dimiliki Air Luther AG serta diuruskan oleh Comlux Aviation.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sebelum ini juga pernah mempersoalkan pembelian pesawat itu oleh kerajaan melalui syarikat lain iaitu Jet Premier One Sdn Bhd dalam siri sidang medianya pada Mac lalu.
Antara lainnya, Rafizi mendakwa pembelian jet Airbus ACJ320 itu melibatkan wang pembayar cukai sebanyak RM465.4 juta dalam tempoh 15 tahun - yang mana lebihan belanja sekurang-kurangnya RM109 juta.
Ahli parlimen Pandan itu juga mendakwa, operasi pesawat baru, penyelenggaraan dan pengurusan serta kos lain melibatkan perbelanjaan sebanyak RM46 juta setahun dan kerajaan menambah perbelanjaaan sebanyak RM28 juta untuk mengubah suai dalaman pesawat itu.
Sebelum membuat penerbangannya ulang alik Kuala Terengganu, pesawat itu telah berada di Malta di mana Comlux mempunyai pengkalannya.
Ia terbang dari Malta ke Hamburg, Jerman pada 1 Mei, dan kemudian seterusnya ke Almaty, Kazakhstan pada 6 Mei, dan akhirnya ke Subang kemudiannya pada hari yang sama, di mana ia disimpan sehingga penerbangan semalam.
Tidak jelas mengapa ia singgah di Almaty dan siapa yang berada dalam jet pada masa itu.