Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M pulang, sejarah 2008 berulang?
Diterbitkan:  May 14, 2015 4:49 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Di tengah-tengah kontroversi penggunaan wang Tabung Haji untuk pembelian tanah projek 1MDB, pengkritik utamanya Tun Dr Mahathir Mohamad terbang ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Bekas perdana menteri itu, yang menjadikan 1MDB senjata utama mengasak Datuk Seri Najib Razak, dijadual pulang esok bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Bagaimanapun kepulangannya dari tanah suci bukan kepulangan biasa kali ini.

SMS mengajak orang ramai berkumpul di Terminal Subang Skypark bagi menyambut pasangan itu telah beredar.

“Jom sambut negarawan terbilang Tun Mahathir yang kembali dari Mekah bersama Tun Dr Siti ibu mithali negara pada 15 Mei Jumaat, jam 12.30pm di Subang Skypark Terminal.

“Tun M adalah insan mulia yang terlalu banyak jasa pada negara.

“Dihina, dikeji dan dikutuk namun Tun M meneruskan misi perjuangan yang belum selesai. Rakyat marhaen bersama Tun walaupun tidak diberi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Ayuh kita ke Subang Skypark,” menurut SMS itu.

Berucap gaya jalanan

Perhimpunan itu dilihat bertujuan memperlihatkan sokongan kepada Mahathir, selepas beliau sebelum ini mendakwa terdapat peserta dalam perhimpunan menyokong Najib diupah .

Malah, dakwanya, Najib percaya bahawa wang tunai adalah raja dan justeru diperkenalkan BR1M.

Perhimpunan esok jika menjadi kenyataan mengingatkan kepada peristiwa tujuh tahun lalu, pada 2008 apabila Mahahir melancarkan serangan pada perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kelihatan hampir sama langkahnya, Mahathir ketika pulang ke lapangan terbang Subang daripada Jepun disambut meriah penyokongnya.

Di situ beliau tampil dan berucap dengan gaya jalanan menggunakan pembesar suara daripada dalam kenderaan MPV yang bumbungnya dibuka.

Mahathir pun menggelar Abdullah pengkhianat.

Tetapi berbeza dengan Abdullah, Najib daripada awal berkata beliau tidak akan tunduk pada tekanan untuk meletakkan jawatan.

Mahathir pulang 15 Mei. Pada 16 Mei adakah pendirian Najib itu akan kekal? Semuanya masih tanda-tanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS