Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menafikan dakwaan beliau bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Milan, Itali bagi merangka pelan mengetepikan Datuk Seri Najib Razak.

Kata Nazri perdana menteri mengetahui di mana beliau berada kerana kunjungannya ke Dubai dan Milan diluluskan kabinet.

"Saya hanya jumpa TPM di majlis pelancaran sahaja kerana kumpulan tarian Istana Budaya di bawah kementerian saya buat pementasan di situ," katanya kepada Malaysiakini .

Semalam bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim mendakwa Nazri mengadakan pertemuan dengan timbalan perdana menteri serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed serta bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin di Milan.

Pertemuan itu, dakwa Zaid, dibuat mereka untuk berpakat menyingkirkan Najib daripada jawatan perdana menteri dan presiden Umno.

Tidak demokratik

Zaid berkata, langkah mengetepikan Najib mesti dibuat melalui cara yang sah, iaitu menggunalan saluran undi tidak percaya di parlimen.

"Pertemuan sulit di Milan bukan cara demokratik," katanya.

Namun Zaid mendakwa dia mendapat maklumat berkenaan daripada sumber yang tidak dapat disahkan.

Kata Nazri, langsung tidak ada kebenaran cerita berkenaan.

" Lawatan saya ke Milan dan Dubai diluluskan kabinet yang dipengerusi oleh PM. Bermakna dalam pengetahuan beliau," katanya.

Daim ( kiri ) adalah salah seorang tokoh yang dilihat menjadi sekutu dekat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi pengkritik paling lantang terhadap Najib.

Muhyiddin pula semakin kerap bersuara berhubung pelbagai isu panas dihadapi Najib terutama 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS