Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengerusi nafi TH beli tanah mahal 1MDB
Diterbitkan:  May 7, 2015 12:52 PM
Dikemaskini: May 8, 2015 8:59 AM

Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan dakwaan bahawa lembaga itu membeli tanah daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan harga yang melampau tinggi.

“Tak betul. TH akan keluarkan kenyataan secepat mungkin,” katanya di Twitter, bagi menjawab pertanyaan yang diajukan mengenai dakwaan tersebut.

Dalam satu lagi tulisan di Twitter selepas itu, Azeez menjelaskan bahawa Tabung Haji hanya membeli satu bidang tanah dan bukannya dua bidang seperti digembar-gemburkan.

Ia merujuk kepada tulisan satu blog bertarikh 5 Mei yang mendakwa Tabung Haji membeli dua bidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX).

Blog tersebut mendakwa, salah satu daripadanya dibeli dengan harga RM194 juta (RM2,860 sekaki persegi), dan satu lagi, RM578 juta (RM3,900 sekaki persegi).

Blog thebenchmark0.blogspot.com seterusnya mendakwa 1MDB sebelumnya membeli tanah tersebut dengan harga RM90 sekaki persegi.

Dakwaan berkenaan antara lainnya mendapat perhatian naib presiden PAS Datuk Husam Musa menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan penjelasan.

“Persoalan yang timbul, apakah penglibatan pelaburan Tabung Haji dalam 1MDB merupakan aktiviti teras Tabung Haji itu sendiri?

“Apakah pendeposit Tabung Haji bakal menjadi mangsa 1MDB dalam pelaburan berisko tinggi ini?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, Najib selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB perlu menjelaskan perkara tersebut, katanya.

Selain Husam, tuntutan sama turut disuarakan oleh Angkatan Belia Malaysia (Abim) yang bimbang jika langkah itu akan menjejaskan simpanan umat Islam.

“ABIM menuntut satu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa seperti polis atau SPRM. Siasatan ini bagi memastikan kebenaran laporan yang tersebar ini.

“Jika benar dakwaan ini, maka ia merupakan ulangan kepada skandal PKFZ. Tapi ia lebih buruk lagi kerana menggunakan duit tabungan bakal jamaah haji Malaysia,” kata presidennya, Amidi Abd Manan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS