Tiga belas tahun tidak pernah dicabar, menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan mudah.
Justeru, walaupun rasmi layak bertanding, calon utama yang berpotensi mencabar Hadi, Ahmad Awang, masih mahu melihat hitam putih untuk membuat keputusan lanjut.
"Tunggu terima surat daripada Jawatankuasa Pemilihan baru buat keputusan," kata bekas anggota Majlis Syura Ulama itu ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Sebelum ini Ahmad, presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM), berkata tiada guna beliau mengumumkan hasrat bertanding atau tidak memandangkan keadaan kempen yang didakwa kotor.
Selain Ahmad, bekas exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa turut dicalonkan bertanding mencabar Hadi Awang yang menyandang jawatan itu sejak 2003.
Husam, naib presiden PAS, setakat ini juga masih belum memberi jawapan untuk merebut jawatan itu daripada Hadi.
Hadi dipercayai selesa dengan pencalonan jauh di depan, walaupun ia tidak semestinya boleh diterjemah dalam bentuk undi dalam pemilihan awal Jun ini di Kuala Selangor.
Tuan Ibrahim: Tunggu
Sementara itu, bagi jawatan nombor dua PAS pula, jawapan sama juga diberikan oleh Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditanya akan mencabar penyandang Mohamad Sabu.
"Tunggu surat rasmi," kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ringkas melalui kiriman SMS.
Mohamad menyandang jawatan tersebut sejak 2011.
Selain Tuan Ibrahim, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Husam turut tersenarai mencabar Mohamad bagi merebut jawatan itu.
Mohd Amar juga setakat ini masih belum menyatakan pendiriannya. Begitu juga Mohamad yang memberi alasan untuk memberi tumpuan kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh terlebih dahulu.
Calon layak bertanding dikehendaki menjawab surat sama ada menerima atau menolak pencalonan bertanding sebelum 19 Mei, jam 5 petang.