Penceramah terkenal Datuk Kazim Elias mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya atau tertipu dengan pihak yang mengambil kesempatan mengenakan caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Beliau berkata tidak semua termasuk barang keperluan harian dikenakan cukai tersebut kerana ia dikawal kerajaan berbanding negara lain yang mengenakan cukai tersebut kepada semua barangan.
Menurutnya lagi, insiden tersebut boleh dielak sekiranya rakyat sentiasa mengikuti perkembangannya dengan membaca surat khabar yang menyenaraikan barang-barang yang dikecualikan GST.
"Tapi masalah kita ni, kita semua terkena. Padahal benda tu tak kena GST, tapi mereka ni (pihak tertentu yang) ambil kesempatan.
"Kadang-kadang benda tu memang kosong GST, dikecualikan GST. Dia tipu kita. Kenapa kita kena tipu, sebab malas baca surat khabar.
"Dalam surat khabar, tiap-tiap hari, dia cakap yang ni kena GST ke, tidak. Tapi bila orang kata jangan baca surat khabar, pembohong, maka kita pon boikot. Jangan dengar berita, pembohong.
"Berita kita tak dengar, surat khabar tak baca, akhirnya kita kena bohong," katanya dalam satu ceramah di Permatang Pauh malam tadi.
Dalam ceramah itu juga Kazim percaya bahawa selepas dua atau tiga tahun lagi, rakyat akan memahami mengapa rakyat tidak boleh mengelak daripada membayar cukai.
"Lama-lama cukai yang dikutip akan pulang balik kepada kita. Yang ini orang tak nampak habis," katanya.