Kempen pilihan raya kecil (PRK) parlimen Permatang Pauh turut "diserikan" lagi apabila khatib yang membaca khutbah di Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh menyarankan semua jemaah mengundi PKR.
Suasana itu berbeza selepas solat Jumaat di masjid itu apabila kira-kira 20 orang PAS akar umbi berhimpun menyatakan protes terhadap PKR.
Malah, khatib, Subri Arshad juga mengambil kesempatan menasihatkan para jemaah tentang dakwaan keborosan kerajaan Persekutuan dan beban yang ditanggung rakyat selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
"Kerajaan kita kerajaan yang zalim dan boros, membeli cincin yang nilainya berjuta ringgit.
"Kita juga dibeban dengan GST yang membebankan rakyat.
"Saya merayu semua penyokong PKR, PAS, Umno pada 7 Mei nanti keluar untuk mengundi PKR," kata Subri yang juga bekas calon PAS Kepala Batas pada pilihan raya umum ke-12.
Menyentuh mengenai saranannya itu, khatib berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang pendakwah untuk memberi peringatan sedemikian.
Katanya, Islam tidak pernah mengasingkan antara politik dan agama.
"Itulah tanggungjawab saya sebagai dai (pendakwah).
"Kalau ada orang pertikaikan boleh ke berkhutbah begini, saya katakan bahawa Islam tidak pernah mengasingkan politik dengan agama," katanya di dalam khutbah pertama dalam solat Jumaat hari ini.