Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Penduduk Kajang' berhimpun cari ADUN
Diterbitkan:  Apr 29, 2015 10:32 PM
Dikemaskini: 2:34 PM

Ketika Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sibuk berkempen untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, puluhan penduduk Taman Delima pula berkumpul mempersoalkan khidmat wakil rakyat mereka itu.

Sambil mempertikaikan keupayaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu melaksanakan amanah, Bahtiar Mohd Annuar, 44, yang mengetuai piket tersebut berkata 'kehilangan' Dr Wan Azizah ketika mereka dilanda musibah merupakan perkara yang amat menyedihkan dan sukar untuk dimaaf.

"Selasa lepas berlaku ribut, 60 rumah penduduk rosak dengan atap diterbangkan angin dan semalam Kampung Sungai Kantan pula dilanda banjir, tetapi Wan Azizah langsung tidak muncul.

"Ketika penduduk sedang bersedih dengan apa yang berlaku, wakil rakyat yang diharap pula sibuk berceramah dan berkempen untuk dirinya di Permatang Pauh...ini yang kami kesalkan," katanya.

Bercakap bagi pihak 60 keluarga itu, Bahtiar berkata beliau dan penduduk taman itu berharap Wan Azizah memikirkan kembali sumbangan yang diberikannya selepas memenangi kerusi itu pada Mac tahun lepas.

Katanya mereka juga mahu Dr Wan Azizah supaya tidak lagi menjadi 'orang yang menurut' perintah parti dan suami semata-mata sedangkan beliau turut mempunyai tanggungjawab besar menjaga kebajikan penduduk Kajang.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah, Suhaimi Sabudin daripada BN, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS