Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda Umno memandang serius masalah kebanjiran warga Afrika di negara ini berikutan kes jenayah melibatkan warga itu semakin membimbangkan.
Menurut Pengerusinya, Sheikh Nafiq Alfirdaous, dari Januari 2015 hingga kini, biro telah menerima lebih 40 aduan yang berkait dengan masalah melibatkan warga Afrika.
Katanya, sebilangan besar aduan yang diterima mengenai kumpulan warga Afrika melibatkan gangguan ketenteraman masyarakat di tempat mereka tinggal.
"Banyak yang kami terima aduan masalah warga Afrika, contohnya, kacau anak dara orang, buat kekecohan, malah ada kes sampai mereka ini bawa lari anak orang.
"Kami di biro sedang bekerjasama dengan penguatkuasa untuk membantu mana-mana pihak yang menghadapi masalah dengan kumpulan ini," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual oleh Bernama Radio 24, di Wisma Bernama , semalam.
Di samping itu, Sheikh Nafiq turut menggesa agar pihak imigresen mengkaji semula visa yang dikeluarkan kepada warga Afrika ekoran terdapat antara mereka menyalah guna visa tersebut untuk melakukan aktiviti jenayah.
"Seperti yang dilaporkan media sebelum ini, kes melibatkan dadah banyak berkait dengan warga Afrika, dan cara mereka memasuk ke dalam negara adalah mendapatkan visa pelajar, ini yang membahayakan kita," katanya.
Pihak yang ingin membuat aduan khususnya berkaitan masalah membabitkan warga Afrika boleh melayari portal aduan 'ForTheRakyat' dikendalikan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda Umno.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan turut bersependapat bahawa kebanjiran warga Afrika perlu diberi perhatian.
Beliau berkata, dari Januari 2015 sehingga kini pihaknya menerima lebih 20 aduan berkaitan kes penipuan oleh warga Afrika.
"Antara (aduan diterima) adalah penipuan menerusi internet yang menyebabkan ada yang rugi sehingga RM100,000, bukan sahaja itu, dadah, gangster, bawa lari anak orang," katanya ketika dihubungi Bernama.
Nadzim turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mengkaji kembali jumlah kemasukan warga Afrika ke universiti-universiti swasta di negara ini.
"Kementerian Pendidikan boleh kaji contohnya berapa ramai daripada mereka (warga Afrika) yang menamatkan pengajian dan lulus.
"Kalau bilangan yang lulus pengajian sikit tetapi kemasukan ramai, maknanya mana dia orang pergi, apa yang dia orang buat?," katanya.
- Bernama