PKR berkata, ketiadaan poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Permatang Pauh masih boleh diterima, tetapi BN tidak sepatutnya membiarkan Datuk Ahmad Maslan memberi penerangan mengenai isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, isu berkenaan sepatutnya dijelaskan sendiri oleh Najib, bukannya Ahmad ( gambar ) yang juga Timbalan Menteri Kewangan.
"Saya ingin mencabar Najib. Kalau poster tidak kelihatan (di sekitar Permatang Pauh) tak apalah, cuma jangan hantar Ahmad Maslan untuk terangkan GST ini.
"Kita minta Najib sendiri turun menerangkan tentang kebaikan GST," katanya lagi dalam nada menyindir.
Semalam PKR membangkitkan isu 'keanehan' dalam kempen pilihan raya kecil di Permatang Pauh kerana poster memaparkan wajah Najib tidak kelihatan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudian memberitahu, gambar calon BN yang bertanding di Permatang Pauh lebih penting berbanding wajah Najib.
Pakatan Rakyat menyatakan GST menjadi isu utama yang digunakan dalam kempen pilihan raya kecil kali ini.