Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat berkata usaha untuk mendamaikan anak buahnya di Pulau Pinang dengan sayap pemuda PKR, AMK sehingga kini masih belum berjaya.
Bagaimanapun, beliau tetap berharap agar kerjasama itu masih dapat ditunjukkan untuk kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Suhaizan berkata, beliau setakat ini sudah berusaha untuk menemukan ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Yusni Mat Piah dengan rakan sejawat dari PKR, Khairil Anuar Kamarudin bagi tujuan itu.
"Namun pertemuan itu tidak berjaya kerana Yusni percaya beliau dapat menyelesaikan masalah itu sendiri,” kata Suhaizan kepada Malaysiakini.
Katannya, Pemuda PAS mampu menyediakan ruang bagi sukarelawan Pemuda PAS negeri yang masih berminat untuk membantu kempen bagi calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tambahnya.
“Walaupun Yusni berkata Pemuda PAS Pulau Pinang tidak akan bekerjasama, kami masih sediakan ruang untuk mereka yang masih mahu membantu.
“Mereka yang berminat boleh daftar di pusat operasi di pejabat wakil rakyat Permatang Pasir,” katanya.
Tegasnya, Pemuda PAS akur dengan keputusan jawatankuasa pusat PAS bertarikh 13 April untuk menyokong calon PKR.
Suhaizan berkata demikian bagi menjelaskan mengenai satu gambar yang tersebar di Twitter – menunjukkan beliau beramah mesra dengan Khairil.
Pertemuan itu menimbulkan persoalan kerana Pemuda PAS negeri sudahpun mengumumkan untuk memboikot kempen tersebut dan tidak akan menggerakkan jenteranya.
Pemuda PAS negeri bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan AMK Pulau Pinang yang enggan memohon maaf atas “penghinaan” ke atas presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ia rentetan kepada kecaman Khairil ke atas Hadi, dan gesaan agar ulama PAS itu meletak jawatan kerana timbul desas desus bahawa parti Islam tersebut bersekongkol dengan Umno.