Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan membantu kempen PKR dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.
Presidennya Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, kira-kira 1,000 sukarelawan PasMa akan berkempen memberi penjelasan tentang isu-isu semasa terutamanya isu hudud.
"Apa sahaja isu berkaitan rakyat, kita akan beri penjelasan biar (rakyat) faham perlunya sokong Pakatan terutamanya dengan isu GST hudud," katanya dalam sidang media di pusat sukarelawan PasMa di Permatang Pauh.
Selain itu, bekas pemimpin PAS Kedah itu berkata, kempen sukarelawan PasMa itu adalah antaranya siri ceramah bersama Pakatan.
Bagaimanapun, perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan, katanya.
PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi Sabudin (BN), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Ishak (bebas).
Suruhanjaya pilihan raya menetapkan 3 Mei sebagai hari pengundian awal dan 7 Mei hari pengundian.