Penduduk Sarawak - sama ada beragama Islam atau Kristian - meluahkan rasa marah masing-masing di Facebook ekoran tunjuk perasaan sekumpulan penduduk Melayu yang mendesak simbol salib sebuah gereja diturunkan baru-baru ini.
Kebanyakan mereka berkata, isu seumpama itu tidak pernah berlaku di Sarawak.
Ahmad Nazri Roy dari Kabong, Sarawak berkata rakyat Semenanjung Malaysia bukan saja perlu belajar daripada pengalaman penduduk Sarawak, malah Indonesia.
"Di Sarawak, kami hidup bersama dalam harmoni. Ada bangunan gereja dan masjid didirikan bersebelahan seperti dalam video ini," katanya merujuk kepada klip bertajuk Satu Alama t yang dimuat naik pengendali akaun Dayak People Educated di Facebook.
Sejak Isnin lalu klip vide berkenaan ditonton lebih 4,000 kali dan dikongsikan lebih 300 kali.
"Kami orang Sarawak dan Sabah berbeza daripada penduduk Malaysia Barat. Kristian, Muslim, Buddha dan lain-lain hidup sebagai keluarga besar," katanya.
Sementara itu seorang lagi pengguna Nur Arina Abdul Hadi dari Bintulu berkata dia pernah berkongsi bilik dengan seorang penganut Kristian ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan ia tidak menjadi isu kepadanya.
"Saya tahu dia memakai salib, tetapi dia tidak pernah mengganggu saya. Saya masih boleh bersolat dalam bilik, tak ada masalah.
"Sudahlah, kalau satu salib boleh menakutkan kamu, mesti ada sesuatu yang tak kena dalam diri kamu, bukan gereja. Kan?" tulis Nur Arina.