Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berbaki kira-kira 40 peratus atau 75 daripada 191 kawasan PAS yang belum bermesyuarat, kumpulan proulama terus menguasai pencalonan tiga jawatan tertinggi parti itu setakat semalam.

Penyandang jawatan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus jauh meninggalkan pencabarnya, Naib Presiden Datuk Husam Musa dan bekas anggota Majlis Syura Ulama, Ahmad Awang sejak mesyuarat kawasan bermula bulan lalu.

Setakat ini Abdul Hadi mendapat 80 pencalonan daripada PAS kawasan, Husam memperoleh lapan pencalonan manakala Ahmad - yang dianggap pencabar terdekat Hadi - hanya meraih empat pencalonan.

Husam dan Ahmad dianggap pemimpin pro-Pakatan Rakyat.

Sementara itu Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mendapat satu pencalonan jawatan presiden dari Kota Bharu tetapi beliau menolak untuk mencabar Hadi, sebalikya menawarkan diri bagi jawatan timbalan presiden

Abdul Hadi yang dinobatkan sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia memang mendapat pencalonan tinggi namun ia bukan jaminan beliau akan mendapat kemenangan mudah kerana kebiasaannya, penyandang mendapat sokongan lebih banyak berbanding pencabar.

Bukan gambaran sebenar

Tambahan pula jumlah pencalonan tidak menggambarkan jaminan sokongan lebih 1,000 perwakilan yang bakal mengundi dalam muktamar di Kuala Selangor Jun ini.

Sementara itu, bagi jawatan timbalan presiden, pola pencalonan akar umbi di peringkat kawasan jelas memilih Tuan Ibrahim untuk berganding dengan Abdul Hadi.

Tuan Ibrahim kini mendapat 78 pencalonan berbanding Mohamad Sabu sembilan pencalonan.

Kecenderungan itu membayangkan Mohamad - yang lebih mesra dipanggil Abang Mat - berdepan kesukaran mempertahankan jawatannya.

Bagi jawatan naib presiden pula, setakat ini lima daripada sembilan pemimpin proulama menguasai senarai untuk merebut tiga tempat bagi jawatan itu. Bakinya daripada kalangan pemimpin pro-Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad mendahului dengan 64 pencalonan, diikuti penyandang Salahudin Ayub (40) dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik (36).

Selain itu Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar memperolehi 34 pecalonan, bekas Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan (33),

Exco Selangor Datuk Iskandar Samad (20), Husam dan Tuan Ibrahim yang juga penyandang masing-masing mendapat 10 dan enam.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa memperoleh tiga pencalonan.

Semua kertas pencalonan perlu dihantar selewat-lewatnya pada 30 April depan jam 11.59 malam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS