Wakil penduduk yang berhimpun menuntut salib sebuah gereja diturunkan di Petaling Jaya, Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, kejadian tersebut tiada kena mengena dengan adiknya, ketua polis negara.
Malah, Abdullah yang juga ketua Umno cawangan Taman Lindungan Jaya menjelaskan, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga telah menghubunginya pagi tadi untuk bertanya tentang kejadian itu.
Menurut Abdullah, beliau menjelaskan kepada Khalid ( kanan ) kehadirannya pada perhimpunan tersebut sebagai orang tengah antara penduduk Taman Medan dan pihak gereja.
"IGP dah telefon dan saya terangkan pada dia tentang isu ini. Ia tentang sekumpulan masyarakat bersama pihak gereja dan pihak gereja juga telah setuju untuk turunkan (salib). Jadi tiada isu.
"Dia (Khalid) cuma tanya saya. Dia panggil saya Lang. Dia tanya 'Lang, apa cerita?'. Kemudian saya terangkan.
"Lepas dengar (penerangan), dia kata OK," kata Abdullah kepada pemberita selepas sidang medianya di lobi Bangunan Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
Ketika ditanya sama ada beliau bersedia sekiranya dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis jika perlu, Abdullah berkata beliau tidak mempunyai masalah.
"Saya tak ada masalah. Saya tak ada sangkaan jahat. Saya di sana untuk redakan keadaan.
“Saya jadi orang tengah antara penduduk dan pihak gereja," katanya lagi.
Bimbang Kristianinasi
Selain itu, seorang lagi wakil penduduk Harun Ismail, 58, pula menjelaskan,penduduk Taman Medan khuatir sekiranya pihak gereja menjalankan aktiviti untuk mengkristiankan umat Islam.
Katanya, penduduk di sana risau sekiranya orang muda dijadikan sasaran pihak gereja untuk menyebarkan pendidikan berhubung agama Kristian.
"Isu salib itu hal lain. Ada dua tiga rumah ibadat di Taman Medan, kami tak ganggu pun. Malah, ada juga kuil yang dibina berdekatan dengan surau. Tak jadi masalah kepada kami.
"Tetapi apa yang orang di sana punya pemahaman ialah, orang Kristian ini cuba untuk mendidik orang muda di sana. Itu yang ditakutkan. Itu yang dibimbangkan," kata Harun.