Akidah umat Islam tidak akan goyah dengan hanya memandang lambang salib, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Haniza Mohd Talha.
Katanya, tindakan sekumpulan orang menunjuk perasaan membantah sebuah gereja baru di kawasan berkenaan adalah "keji" dan menghina umat Islam, khususnya di kawasan itu.
"Mereka beranggapan akidah umat Islam sungguh rapuh. Hanya dengan ada gereja di kawasan itu dan menggantung salib akan membuatkan penduduk Islam berpaling dari Islam.
"Sikap keterlaluan itu telah memberi persepsi negatif terhadap Islam dan muslim. Kini, muslim dilihat sebagai taksub dan ekstrem sehingga menghalang orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing," katanya.
Kenyataan Haniza itu dikeluarkan ekoran tindakan beberapa orang mendakwa penduduk Taman Medan mengadakan protes terhadap sebuah gereja baru di kawasan berkenaan.
Mereka menuntut pihak gereja berkenaan menurunkan lambang salib pada bahagian luar bangunan itu kerana ia dibuat tanpa berunding dengan mereka.
Gereja itu dibuka tiga hari lalu di kawasan didakwa didiami majoriti penduduk Melayu beragama Islam.
Penunjuk perasaan juga mengencam Haniza dan menuduhnya "tidur" kerana gagal menangani isu berkenaan.
Media melaporkan, pengurusan gereja terbabit bersetuju dengan tuntutan itu selepas mengadakan perbincangan.
Haniza berkata, protes semalam itu juga adalah amalan politik sempit dan perkauman Umno.
"Tunjuk perasaan itu diadakan ahli Umno.
"Seorang daripada mereka ialah Munaliza Hamzah yang menjadi calon BN menentang saya dalam pilihan raya umum lalu," katanya.
Seorang lagi, kata Haniza, yang memperkenalkan dirinya sebagai ketua kampung, Abdullah Abu Bakar melakukan penipuan.
"Tidak ada kampung di Taman Medan.
"Dia adalah seorang pemimpin Umno di bahagian Petaling Jaya Selatan," katanya.