Walau mengadu “keseorangan” tanpa penyokong, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tetap dihurung para peminat di Masjid Negara hari ini.
Video yang dimuatkan seorang bekas wartawan, Firdaus Abdullah menunjukkan bekas PM itu gembira dengan layanan sedemikian.
Selain berjabat tangan, Mahathir turut memenuhi permintaan para peminatnya untuk bergambar.
Mahathir minggu lalu mengadu “keseorangan” dalam usahanya untuk menuntut jawapan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas isu yang dibangkitkannya.
Sejak beberapa minggu lalu, Mahathir melancarkan serangan solo untuk menuntut Najib meletak jawatan.
Mahathir mengaitkan pelbagai skandal Najib yang menurutnya akan menjejaskan BN dalam pilihan raya umum akan datang, sekiranya perdana menteri itu tidak meletak jawatan.
Perdana menteri yang biasanya tidak mengendahkan kritikan ke atasnya seterusnya muncul di TV3 untuk menjawab kritikan yang dibangkitkan Mahathir.
Bagaimanapun, banyak isu yang dibangkitkan Mahathir itu – khususnya motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu – tidak disentuh oleh Najib dalam wawancara tersebut.
Sebaliknya, Najib membangkitkan bahawa Mahathir menyerang kerana beliau enggan meneruskan projek membina “jambatan bengkok” ke Singapura.
Najib kini masih mendapat sokongan dari Umno, seperti yang ditunjukkan dari sayap dalam parti tersebut.
Mahathir juga mendapat sokongan seperti yang ditunjukkan kumpulan pendesak PERKASA dan personaliti seperti bintang pop Datuk Siti Nurhaliza.