Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa membelakangi saf kepimpinan parti itu berhubung pembentangan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.
MP Shah Alam Khalid Samad berkata tindakan Hadi itu bukan sahaja menimbulkan salah faham di kalangan pemimpin pembangkang malah dalam PAS sehingga mengakibatkan DAP menghentikan kerjasama dengan Hadi.
Katanya lagi, DAP berhak memutuskan kerjasama dengan Hadi kerana gagal menerima penjelasan MP Marang itu yang didakwa mengkhianati keputusan kepimpinan Pakatan Rakyat Februari, lalu lapor Berita Harian .
“Mungkin tindakan presiden dibuat tanpa berunding dengan pemimpin lain (kerana) Setiausaha Agung (Datuk Mustafa Ali) pun tidak mengetahuinya.
“Kami pun tidak tahu… mungkin juga ada rundingan tetapi tidak menyeluruh… (timbang tara sendiri dalam hal ini) perkara ini mungkin kesuntukan masa kerana mahu mengejar tempoh dua minggu itu (notis 14 hari),” Khalid dipetik sebagai berkata.
Katanya lagi, Hadi ( atas ) seharusnya mengutamakan majlis Syura dengan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi mengelak salah faham dengan rakan dalam PAS dan pemimpin Pakatan yang lain.
“Apabila presiden tidak berbincang dengan pihak lain, maka timbul salah faham ketika isu pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) hangat diperbahaskan, sekali gus semua orang termasuk saya menganggap Rang Undang-undang Persendirian itu berkaitan dengan enakmen berkenaan, bukannya Akta 335.
“Walaupun ia bukan berkaitan Kanun Jenayah Syariah II 1993, sepatutnya dari segi prinsip sebagai parti dalam satu pakatan, cadangan itu harus dimaklumkan kepada semua supaya tidak terkejut,” Khalid dilaporkan sebagai berkata.