Selepas berdepan dengan serangan bertubi-tubi daripada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, nampaknya penyokong Datuk Seri Najib Razak bertindak balas.
Dalam perkembangan terbaru, penyokong perdana menteri itu menyasarkan serangan mereka kepada anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz.
Sebelum itu ada bayangan bahawa Najib akan menyerang balas ketika dia ditemu bual stesen televisyen TV3 pada Khamis lalu.
Perdana menteri mendakwa kemarahan Mahathir berpunca daripada keengganan kerajaan meneruskan projek jambatan bengkok yang dibatalkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
Sebelum dan selepas temubual itu disiarkan, beberapa pemimpin Umno tampil menyatakan sokongan mereka kepada presiden mereka seperti yang banyak disiarkan media arus perdana setiap hari.
Malah, timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berada di Indonesia untuk lawatan rasmi turut menyuarakan sokongannya kepada Najib.
Selepas menunjukkan kawalan beliau pada Umno, jentera Najib secara rasmi menyerang balas dengan menyasarkan Mukhriz yang kini berkhidmat sebagai menteri besar Kedah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin mendahului serangan itu dengan mendesak Mukhriz menyatakan sokongan terbuka kepada Najib atau meletak jawatan jika enggan berbuat demikian.
Langkah itu dituruti sepupu Najib sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan, Mukhriz akan gagal sebagai menteri besar jika Umno Kedah berpecah disebabkan isu berkenaan.
Keadaan itu meletakkan Mukhriz benar-benar tersepit dan perlu membuat pilihan - sama ada menyatakan sokongan kepada Najib sebagai bos, atau menurut rentak bapanya.
Jika Mukhriz memilih untuk menyertai kumpulan Mahathir, ia bukan saja bermakna beliau memisahkan dirinya daripada pemimpin Umno Kedah, malah jawatannya sebagai menteri besar juga terancam.
Jika itu berlaku, Mukhirz akan menjadi korban pertama dalam perang Mahathir – Najib.
Apabila Ahmad menggesa Mukhriz menyatakan sokongan kepada Najib, wakil rakyat itu sebenarnya mengingatkan menteri besar berkenaan bahawa dia berada di kerusi ketua kerajaan negeri itu adalah atas lantikan perdana menteri.
Perlu diingatkan juga, Khairuddin Abu Hassan disingkirkan daripada jawatannya sebagai Naib Ketua Umno Batu Kawan selepas dia membuat laporan polis terhadap agensi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Jika diandaikan Mukhriz terselamat dalam konflik ini, timbul persoalan mengenai bagaimana dia akan meneruskan langkahnya dalam parti ketika ramai tokoh utama lain berpihak kepada Najib.
Mukhriz sudah terlepas peluang keemasannya untuk menjadi Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang lalu apabila kalah tipis kepada Hishammuddin.
Apakah yang berlaku jika Mukhriz mengalah kepada tekanan parti dan mengumumkan kesetiaannya kepada Najib?
Jika itu berlaku, Mukhriz meletakkan bapanya dalam keadaan amat janggal.
Sebelum ini Mahathir menyuarakan kecamannya terhadap ancaman parti yang mengancam sesiapa yang tidak menyokong Najib. Namun jika Mukhriz sendiri membelakangi bapanya, bekas perdana menteri itu akan bersendirian dalam misinya.
Andainya Mahathir mengambil langkah menghentikan serangannya terhadap Najib, adakah itu bermakna pengaruhnya dalam Umno akan terjejas?
Perlu diingatkan ketika Mahathir meninggalkan Umno dalam usahanya menyingkirkan Abdullah pada 2008, Mukhriz tidak mengambil langkah sama, sebaliknya dia kekal dalam parti dan mengumpul kekuatan untuk pemilihan akan datang.
Namun sejarah menunjukkan, Mahathir bukanlah tokoh yang mudah menyerah kalah.
Apabila berada dalam situasi terdesak, Mahathir tidak pernah teragak-agak mengambil langkah drastik dan biasanya akan menyebabkan seterunya mati langkah.
Antara langkah yang pernah diambil Mahathir ialah memecat timbalannya, Anwar Ibrahim yang ketika itu sangat popular dalam Umno ketika negara berdepan krisis ekonomi pada 1990-an.
Beliau juga pernah keluar dari Umo sebagai protes terhadap Abdullah.
Kali ini, apakah yang akan berlaku kepada "lone ranger" itu?