Rang undang-undang pencegahan keganasan (Pota) yang baru diluluskan Dewan Rakyat digelar sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 2.0 kerana turut mempunyai peruntukan penahanan tanpa bicara.
Peruntukan itu membuatkan ia dikaitkan dengan ISA yang dimansuh dan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959.
Bawah undang-undang ini, seseorang individu boleh ditahan sehingga dua tahun dan disambung setiap dua masa, tiada had masa.
Selain peruntukan membenarkan penahanan tanpa bicara, di bawah antara persamaan dan perbezaan ketiga-tiga undang-undang itu.
Cabar penahanan di mahkamah?
Penahanan bawah ketiga-tiga undang-undang ini tidak boleh dicabar di mahkamah dan mahkamah tidak terlibat meneliti prosidingnya.
Bekas Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan ( kanan ) berkata peruntukan itu hanya menunjukkan kerajaan tidak yakin terhadap bidang kehakiman.
Ragunath percaya lebih besar jenayah itu, lebih ketat undang-undang diperlukan untuk memastikan keadilannya.
“Seseorang individu harus mendapat manfaat daripada perlindungan undang-undang dan ini untuk memastikan ketelusan untuk mencegah salah guna kuasa,” katanya.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret?
Dalam ISA, suspek tidak dibawa ke Mahkamah Majistret. Bawah Pota, polis boleh membuat tangkapan tanpa waran dan kemudian membawanya kepada majistret dalam tempoh 24 jam.
Walaupun ia bukan penahanan polis semata-mata kerana suspek mesti dibawa kepada majistret, majistret bagaimanapun didakwa hanya bertindak mengiyakan atau “ rubber stamp ”.
Peguam perlembagaan Syahredzan Johan ( kiri ) berkata secara amali, penahanan itu hanya sebuah pengurusan kerana tiada pengawasan dan pertimbangan sama ada seseorang itu patut ditahan atau tidak.
Katanya, oleh kerana permohonan itu secara automatik, majistret tidak mempunyai budi bicara sama ada untuk membenarkan penahanan ataupun tidak.
“Majistret harus mengarahkan penahanan dibuat. Majistret hanya seperti rubber stamp ,” katanya.