Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau hanya mahu agar persoalan berhubung arahan untuk membunuh Altantuya Shaariibuu terjawab.
Katanya, perkara itu perlu dijelaskan kerana timbul banyak syak wasangka di kalangan masyarakat.
Beliau juga kecewa kerana Najib dilihat sebagai pemimpin yang “bersih” untuk menggantikan perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau seterusnya membangkitkan lagi mengenai dakwaan Sirul berhubung arahan bagi membunuh wanita berkenaan.
“Pada masa itu Najib ternampak bersih. Sekarang ada syak wasangka dikalangan orang ramai yang tidak terjawab..
“Ini bukan masalah (kes pembunuhan) lapan tahun dahulu. Yang saya soal ialah berkenaan masalah hari ini – masalah nyawa dua orang anggota polis yang dihukum bunuh.
“Amatlah tidak adil jika mereka dibunuh sedangkan mereka sebagai pegawai rendah polis hanya mengikut perintah.
“Saya hanya tanya berkenaan siapa yang mengeluar perintah kepada Sirul (Azhar Umar) dan rakannya (Azilah Hadri),” katanya.
Tambahnya, beliau tidak menuduh Najib melakukan jenayah kerana itu dapat disiasat oleh polis.
"Dalam blog saya, saya tidak menuduh Dato Seri Najib melakukan apa-apa jenayah.
"Itu boleh ditentukan jika polis dapat membuat siasatan. Yang saya pohon ialah jawapan kepada soalan-soalan yang disuarakan oleh ramai rakyat," katanya.
Pasukan polis bagaimanapun menolak saranan agar siasatan baru dijalankan ke atas kes tersebut.
Tindakan Mahathir membangkitkan isu kematian Altantuya mengejutkan para pemimpin dalam Umno dan ada pemerhati yang mendakwa negarawan itu berusaha untuk menyingkirkan Najib.
Najib juga masih berdiam diri ke atas serangan baru yang dilancarkan Mahathir.