Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin rang undang-undang (RUU) persendirian berhubung pelaksanaan hukuman hudud akan dibentangkan pada sidang kali ini.
Beliau turut berharap, RUU itu sekurang-kurangnya dibacakan buat kali pertama pada sidang Parlimen kali ini yang berakhir pada 9 April depan.
"Insya-Allah sekurang-kurangnya bacaan kali yang pertama (pada sidang) kali ini. Insya-Allah," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan taklimat Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak hari ini.
Selain itu, ditanya mengenai reaksi Pakatan sekiranya RUU itu dibentangkan, Hadi yang juga ahli Parlimen Marang itu hanya berkata: "Itu kita tunggu dulu (untuk lihat) sejauhmana respon mereka berhubung apa yang kita ingin tunaikan terhadap kewajipan kita.
"Kita akan bentang di parlimen kemudian kita akan tengoklah perkara selanjutnya," kata Hadi.
Hubungan PAS dalam Pakatan semakin meruncing selepas kerajaan Kelantan meluluskan enakmen syariah itu pada 19 Mac lalu.
Malah, rakan sekutu mereka iaitu PKR dan DAP turut mengatakan parti itu membelakangkan Pakatan apabila Hadi menghantar surat untuk mengemukakan usul rang undang-undang persendirian di Parlimen.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan, laporan akhbar yang mengatakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi amanat kepada PAS berbaik dengan Umno adalah tidak benar.
Menurut Mohd Amar, amanat yang diberikan Nik Aziz itu hanya bersifat peribadi dan bukan kepada parti tersebut.
"Tok guru (Nik Aziz) pesan pada saya. Bukan PAS. Sebab saya kuat "pukul" Umno. Tok guru beritahu jangan kuat sangat menentang Umno kerana kita perlu berbincang (dengan Umno) untuk jayakan hudud.
"Dia pesan pada saya seorang sahaja sebab saya kaki pukul. Hanya nasihat peribadi," katanya.