BN akan kalah sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus memimpin parti itu sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamed.
“Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib.
“Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar bahawa Umno dan dengan itu BN akan kalah jika Datuk Seri Najib memimpin Umno hingga PRU 14,” tulis Mahathir ( kiri ) di blognya hari ini.
Katanya lagi apabila Umno kalah, kepimpinan parti itu akan dikutuk dan ditolak oleh bangsa Melayu dan ia tidak akan dapat dipulihkan semula.
Ini bukan kali pertama Mahathir memberi amaran keras itu.
Pada 13 Mac lalu, perdana menteri 22 tahun itu meramalkan kontroversi sekitar isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan menjadi punca kekalahan BN dalam pilihan raya depan.
Menulis dalam blognya hari ini, Mahathir berkata pemberian wang percuma menimbul kemarahan orang Melayu dengan “mengenepikan Dasar Ekonomi Baru kerana ingin mendapat sokongan orang Cina”.
Dalam masa sama, katanya, orang Cina juga menolak pemerintahan Najib seperti tergambar dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.
'Jet Datuk Seri, Datin Seri'
Walaupun dalam blognya sebelum ini Mahathir telah melontarkan kritikan keras tentang isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau terus berbuat demikian dalam tulisannya hari ini.
“Dan banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuh oleh Datuk Sri Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat yang tidak dijelas dan dijawab selain dari menafi dan mendakwa semuanya bohong belaka,” katanya.
Malah, katanya, laporan akhbar antarabangsa berhubung perkara itu “amat memalukan negara”.
Sementara itu, Mahathir juga mengkritik pembelian sebuah lagi jet rasmi perdana menteri ACJ319, yang didakwa pembangkang bernilai RM465 juta, untuk kegunaan “Datuk Seri dan Datin Seri”.
“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai ringgit yang menurun teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat dilanda banjir dan kehilangan ratusan juta ringgit, kerajaan membazirkan wang ratusan juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada pesawat-pesawat milik kerajaan,” katanya.
Terus mengasak Najib, Mahathir hari ini turut membangkitkan berhubung persoalan siapa yang mengarahkan pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Langkah itu memperlihatkan bahawa Mahathir bersedia pergi lebih jauh dengan mempergiatkan lagi tekanan terhadap pentadbiran Najib yang sedia terhimpit dengan pelbagai isu.
Ini termasuklah isu kekayaan keluarganya, perbelanjaan kerajaan serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Lebih malang, serangan itu dilontarkan menjelang ulang tahun enam pentadbiran Najib sebagai perdana menteri esok.