Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendedahkan bahawa jemaah menteri tidak membincangkan mengenai rang undang-undang hudud.
Ditanya mengenai pendirian Datuk Seri Najib Razak berhubung isu berkenaan, Nazri berkata perkara itu sepatutnya dijawab sendiri oleh perdana menteri.
Najib sehingga ini masih belum menyatakan pendirian rasmi BN berhubung rang undang-undang tersebut.
Para pemimpin BN telahpun bermesyuarat mengenai isu berkenaan pada 19 Mac, pada hari yang sama DUN Kelantan meluluskan pindaan ke atas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.
Dalam pertemuan itu, para pemimpin parti komponen BN menyatakan bantahan mereka ke atas pelaksanaan hudud.
Naib presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Najib akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut pada keesokan harinya.
Bagaimanapun, Najib masih berdiam diri dalam isu itu. Ini menyebabkan timbul spekulasi bahawa BN sendiri tidak berjaya mencapai kata sepakat dalam isu hudud.
Ada juga yang berpendapat, perdana menteri hanya menunggu Pakatan Rakyat berpecah-belah ekoran isu tersebut.
Pandangan seperti ini turut didukung oleh Nazri.
"Jika hudud merupakan satu isu yang akan memecah-belahkan Pakatan, saya harap begitulah,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.