Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz hari ini mempertahankan penangkapan empat pengarang kanan The Malaysian Insider (TMI) dan penerbit The Edge Group.
Katanya, tangkapan terhadap portal berita itu wajar wajar kerana laporannya yang didakwa “bohong”.
“Saya rasa tidak salah mereka ditangkap untuk disoal siasat kerana wartawan tidak terkecuali daripada undang-udang.
“Saya percaya pada kebebasan akhbar tetapi ia tidak memberikan mereka lesen untuk berbohong,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Portal itu menyiarkan tulisan mendakwa Majlis Raja-raja Melayu menolak pelaksanaan hudud.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh penyimpan mohor raja-raja Melayu. [Baca berita asal]
Syed Ali: Berapa fitnah beranilah tanggung
Sementara itu, pemimpin Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata polis tidak harus dipersalahkan apabila pengarang TMI ditangkap.
“Jangan nak salahkan polis apabila pengarang portal berita The Malaysian Insider ditangkap, kalau berani buat fitnah dan laporan palsu, beranilah tanggung akibatnya,” tegas ketua Umno Cheras itu.
Blog Umno bahagian juga melaporkan beliau sebagai menolak kecaman kumpulan media terhadap penangkapan itu, antaranya oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).
“Mengapa CIJ hanya nampak (polis) tangkap mereka, tetapi tidak peduli kepada soal isu hudud dan kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu, jadi kita sudah dapat agak apa sebenarnya niat mereka (CIJ),” tegas Syed Ali ( atas ).