Walaupun PKR Sabah memutuskan hubungan dengan PAS negeri itu dalam keputusan mengejut semalam, namun ia bukan keputusan rasmi parti, jelas timbalan presiden PKR.
Mohamed Azmin Ali berkata tindakan PKR Sabah, bersama DAP negeri, hanyalah pandangan pemimpin parti di peringkat negeri.
"Kita kena dengar apa perbincangan di peringkat negeri dan akan bawa dalam mesyuarat biro politik kita dan pendirian PKR di peringkat pusat ialah kita mahu Pakatan terus dipertahankan dan diperkukuhkan.
"Tidak berpecah (Pakatan di Sabah dan Sarawak). Itu pandangan berbeza, itu pandangan negeri tapi akhirnya keputusan akan dibuat oleh (pemimpin) pusat. Kita kena dengar alasan mereka mengapa ambil tindakan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Annex, Shah Alam.
Semalam, PKR dan DAP Sabah memutuskan hubungannya dengan PAS di negeri itu susulan ketegasan parti Islam meneruskan pelaksanaan hudud di negara ini.
Walaupun Pakatan menghadapi masalah dalaman yang kian ketara dan serius tetapi Azmin, yang juga menteri besar Selangor, berkata ia dapat diselesaikan secara muafakat tanpa perlu pertelangahan di media.
Beliau berharap pemimpin gabungan pembangkang di peringkat Sabah dapat berbincang bagi menyelesaikan masalah mereka.
"Kita mengaku ada masalah dalam beberapa isu. Tapi pengalaman kita sebelum ini, beberapa isu besar dalam Pakatan dapat diselesaikan secara muafakat, tidak perlu kita bertelagah dalam media.
"Media juga ada agenda mereka tertentu. Kalau pemimpin Pakatan di semua peringkat dapat duduk berbincang dan berdasarkan konsesus, saya percaya masalah besar boleh diselesaikan," katanya.
Ketika ditanya mengenai status Pakatan di Selangor, Azmin dengan ringkas berkata gabungan parti itu di peringkat negeri masih lagi kuat.
"Di Selangor, Pakatan kukuh, kuat dan tumpukan soal pembangunan," katannya.
Masalah dalaman Pakatan, yang mulai ketara sejak krisis menteri besar Selangor pada Oktober lalu, semakin memuncak apabila kerajaan PAS di Kelantan meluluskan pindaan enakmen hudud.
PAS juga mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan enakmen hudud dilaksanakan di negeri itu.
PKR berpendapat pelaksanaan bukan keutamaan di negara ini, sementara DAP telah memutuskan hubungan kerjasamanya dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu yang sama.