Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penerbit, CEO portal TMI pula ditahan polis
Diterbitkan:  Mar 31, 2015 10:46 AM
Dikemaskini: 6:28 AM

Operasi pihak berkuasa ke atas portal berita The Malaysian Insider diteruskan hari ini dengan penahanan pemimpin syarikat induknya Ho Kay Tat dan ketua pegawai eksekutif portal tersebut Jahabar Sadiq.

Kedua-duanya ditahan mengikut Akta Hasutan sebaik tiba di ibu pejabat polis Dang Wang, Kuala Lumpur pagi ini, lapor portal tersebut.

Mereka pada awalnya tiba untuk memberi keterangan di balai tersebut susulan penahanan tiga orang editor portal berkenaan semalam.

Ho Kay Tat merupakan penerbit dan CEO kumpulan The Edge Media Group, yang memiliki kepentingan dalam The Malaysian Insider .

Mengulas mengenai penahan beliau, Jahabar dengan sinis menyifatkannya sebagai asam garam dalam karier kewartawanan.

Beliau juga membayangkan bahawa lokap polis kini semakin ramai penghuni sehingga boleh digelar "Lokap Jaya".

"Selamat pagi Twitterjaya, kewartawanan membawa saya ke segenap ceruk rantau, dan hari ini saya akan ke #LokapJaya," katanya dalam bahasa Inggeris di Twitter.

Penahanan tersebut disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang popular melalui akaun @KBAB51 di Twitter.

"Polis sahkan jam 11.00 pagi ini telah tahan dua orang lagi kakitangan TMI utk bantu siasatan.

"Tiada toleransi kepada sebarang aktiviti menghasut," katanya.

@PDRMsia sahkan jam 1100 pagi ini telah tahan 2 org lagi kakitangan TMI utk bantu siasatan. Tiada toleransi kpd sebarang aktiviti menghasut

— Khalid Abu Bakar (@KBAB51) March 31, 2015

Tiga orang kakitangan TMI yang ditahan polis semalam - editor urusan Lionel Morais dan dua lagi editor dari meja bahasa Melayu, Amin Shah Iskandar dan Zulkifli Sulong.

Mereka ditahan dalam serbuan yang turut disertai pasukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Polis menjalankan siasatan mengikut Akta Hasutan susulan satu laporan portal tersebut berhubung pendirian Majlis Raja-Raja dalam isu hudud.

Kes itu diadukan kepada polis oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad yang menegaskan, kandungan laporan portal tersebut tidak benar.

Gesaan agar TMI dikenakan tindakan turut disuarakan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang berkata, nama baik Majlis Raja-Raja akan terjejas jika tiada tindakan dikenakan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS