Gerakan, pihak pertama yang mengulas idea tokoh DAP Lim Kit Siang berkaitan cadangan kerajaan campuran baru selepas pindaan enakmen hudud diluluskan Kelantan, mengumpamakan hubungan dalam Pakatan Rakyat seperti percintaan sepasang kekasih.
Pakatan – yang dibentuk sebelum pilihan raya umum 2008 – berusia tujuh tahun dan mungkin kini "menggatal untuk mencari kekasih baru", kata Pengerusi Biro Undang-undang dan Hak Asasi Gerakan Baljit Singh.
"Adakah DAP mahu menceraikan PAS dan sedang mencari teman wanita baru?" sindir Baljit ( kiri ).
Baljit berkata ahli politik daripada kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang, bukan hanya perlu bekerja tetapi harus “bekerja bersama-sama” demi kebaikan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, sejak 2008, kebanyakan kegiatan berpolitik dilakukan demi kelangsungan politik masing-masing.
Susulan keadaan tidak menentu politik Malaysia, Lim mengusulkan pembentukan sebuah kerajaan persekutuan campuran untuk “Selamatkan Malaysia”.
Kerajaan baru itu, katanya, patut melibatkan anggota Parlimen kedua-dua belah kerajaan dan pembangkang yang mempertahankan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Veteran DAP itu berkata kerajaan BN kekal seperti tidak terkawal bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam masa yang sama, katanya, blok pembangkang pula kini berdepan krisis terbesarnya.