Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja Chang Lih Kang mendakwa terdapat pihak polis berpakaian biasa cuba mencetuskan kekecohan dalam protes duduk di Dataran Merdeka Kuala Lumpur awal pagi ini.
Chang, yang juga anggota sekretariat Kita Lawan, mendakwa semuanya berjalan lancar sehingga peserta dikejutkan oleh seorang lelaki yang cuba mencetuskan kekacauan.
“Kami bangun pada 2.30 pagi apabila pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula menurunkan plakad tetapi pujian kepada mereka kerana profesional dan tidak menggunakan kekerasan.
“Tiba-tiba, seorang lelaki tanpa uniform datang dan menendang payung,” katanya dalam perbualan telefon dengan Malaysiakini .
Protes duduk bantah bermula Sabtu lepas bertujuan menuntut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meletakkan jawatan susulan penangkapan pihak terlibat dalam perhimpunan Kita Lawan.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan ulasan polis berhubung dakwaan itu.