Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Insiden terbaru tentang pembaca berita BFM diancam bunuh, rogol dan dibakar hidup-hidup oleh mereka yang saya anggap sebagai warga maya Melayu-Islam menimbulkan persoalan yang serius bagi negara ini. Adakah negara ini selamat untuk dihuni oleh anak-anak kita?

Sekiranya membangkitkan pandangan yang mudah terhadap isu seperti hudud atau isu seperti demokrasi dan pilihan raya yang bersih, boleh mencetuskan ancaman bunuh, rogol dan dibakar hidup-hidup, maka apa maksudnya terhadap negara kita, rakyat dan kepimpinan kita? Di mana budaya ini datang?

Saya perhatikan bahawa mereka yang membuat ancaman seperti ini datang dari kebanyakannya orang Melayu yang saya anggap adalah Muslim. Di manakah kita, sebagai sebuah negara, telah melakukan kesilapan dalam mendidik orang Melayu ini? Apa yang kita ajar di sekolah menengah kita?

Lebih penting lagi adakah universiti awam kita menghasilkan mereka dengan budaya seperti itu? Saya secara jujur berharap mereka yang membuat ancaman itu tidak pernah menjejakkan kaki di universiti awam kita kerana jika tidak, saya ingin bertanya para naib canselor, jenis rakyat Melayu Malaysia apakah yang anda hasilkan?

Ya, mereka boleh diterima sebagai jurutera dan arkitek tetapi mereka hampir tidak boleh diterima sebagai warganegara Malaysia, atau orang Islam atau lebih teruk lagi, sebagai manusia dengan hati nurani yang berperikemanusiaan? Apa sudah jadi?

Saya ke masjid dan mendengar ribuan ceramah di YouTube oleh mereka yang dipanggil ustaz ternama dan saya tahu bahawa pemahaman mereka tentang Islam menjadi penyumbang utama kepada jenis-jenis komen yang dibuat oleh warga muda maya ini.

Walaupun saya berasa marah kepada warga maya yang telah membuat ancaman seperti itu, seolah-olah filem 'Terminator' yang memberondong orang dengan mesingan besar, tetapi saya bersedia memaafkan mereka kerana saya tahu masyarakat telah mewujudkan budaya tersebut.

Ketika Nabi Muhammad berdepan dengan penindasan terhadap orang muda dari Taif sehingga tubuhnya berlumuran darah, beliau berdiri di depan malaikat Jibril dengan tentera dari syurga yang bersedia untuk menghapuskan penduduk Taif, beliau berkata, "Tidak, jangan apa-apakan orang-orang ini kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan".

Mungkin generasi akan datang boleh terima mesej saya jika orang-orang ini tidak boleh menerimanya pada masa ini.

Rasulullah berhati mulia untuk mengampuni orang-orang ini kerana beliau tahu mereka yang melemparkan batu adalah remaja dan anak muda yang dipengaruhi oleh golongan tua mereka.

Saya takut, ulama kita mungkin mengajar jenama Islam yang amat jauh daripada contoh teladan mulia Rasulullah sendiri.

Dengan kejadian ini, saya bertanya sekali lagi kepada rakyat Malaysia... selamatkah kita untuk membesarkan anak-anak kita di negara ini? Jika tidak, perlukah kita mula mencari tempat lain dan mewujudkan tempat yang lebih selamat untuk membolehkan anak-anak kita mempunyai masa depan?

Saya menulis semua ini dengan hati yang berat. Saya menulis kata-kata ini sebagai warga Malaysia yang prihatin dan sebagai orang Islam demi semua anak-anak kita. Dan akhirnya, saya menulis semua ini sebagai bapa kepada  Aisyah Mohd Tajuddin, gadis BFM itu.

Baca tulisan asal dalam bahasa Inggeris.


Prof Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi adalah bekas pensyarah UTM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS