Ekoran DUN Kelantan meluluskan pindaan rang undang-undang hudud di Kelantan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyuarakan rasa ragu untuk mempercayai pimpinan PAS tertentu.
Tanpa menamakan mereka, Lim mengecam kepimpinan PAS Kelantan membentangkan satu set rang undang-undang baru dan bukan hanya pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah yang diluluskan pada 1993.
"Bolehkah DAP meneruskan bekerjasama dengan beberapa kepemimpinan PAS dalam Pakatan Rakyat apabila janji dan kata mereka tidak mempunyai nilai dan tidak ada berbeza daripada Umno?
"Dengan terjerat dalam perangkap Umno dan mengkhianati konsensus Pakatan dan polisi bersama dengan meluluskan undang-undang hudud di DUN Kelantan, PAS Kelantan mungkin telah memusnahkan prospek pilihan raya di Kelantan dan membawa impian pemimpin Umno untuk memusnahkan Pakatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) diluluskan dan disokong sebulat suara oleh 44 ADUN dalam sidang DUN di negeri pantai timur itu.