Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tambang komuter juga naik mulai 1 Mei
Diterbitkan:  Mar 19, 2015 5:55 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

KTM Berhad (KTM) hari ini mengumumkan kadar tambang baru bagi perkhidmatan KTM Komuter dengan peningkatan sehingga RM7.10 berkuat kuasa 1 Mei.

    

KTM dalam satu kenyataan berkata perbezaan kadar tambang sehala yang baru berbanding tambang sedia ada adalah bergantung kepada jarak perjalanan daripada satu stesen ke stesen yang lain.

    

Ia turut memaklumkan kadar baharu diskaun tiket sebanyak 20 peratus bagi pemegang tiket tambah nilai, diskaun antara 18 peratus hingga 26 peratus kepada pemegang pas mingguan serta diskaun 19 peratus hingga 35 peratus bagi pemegang pas bulanan, bergantung kepada jarak perjalanan.

    

Sementara itu pengguna warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia antara 4 hingga 12 tahun pula akan terus menikmati tambang konsesi pada kadar 50 peratus daripada tambang tunai yang baru.

    

"Seperti yang sedia maklum, perkhidmatan KTM Komuter telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari aspek ketepatan masa perjalanan dan tahap keselesaan penumpang sejak penggunaan tren baharu enam koc mulai tahun 2012.

"Penggunaan tren baharu enam koc yang sangat konsisten prestasinya telah melonjak ketepatan masa perkhidmatan KTM Komuter dari hanya 17 peratus pada 2011 kepada 97 peratus pada 2014," kata KTM.

    

Ia berkata pelarasan tambang itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kadar baharunya turut dikecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

    

Kali terakhir KTM melaksanakan pelarasan tambang ialah pada Februari 2003.

    

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini turut mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala pada mulai 15 Mei, tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus.

    

Kenaikan tambang dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga kos termasuk kos penyelenggaraan serta demi  kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.     

    

Bermula 1 April, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kadar tambang baharu di semua stesen KTM Komuter, laman sesawang KTM Berhad di www.ktmb.com.my atau mengubungi Pusat Panggilan KTMB 1300-88-5862.

    

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS