Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih dua juta pekerja asing sah bekerja di M'sia
Diterbitkan:  Mar 17, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Sejumlah 2.07 juta pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara direkodkan berada di negara ini setakat 31 Disember tahun lepas, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata kemasukan warga asing itu khususnya didorong kebergantungan negara terhadap pekerja asing bagi sektor-sektor yang dikategorikan sebagai kritikal.

"Kekurangan minat pekerja tempatan menceburi sektor pekerjaan yang tiada nilai komersial dan kebolehtahanan pekerja tempatan yang tidak kekal juga menyebabkan tenaga kerja asing menjadi sandaran pelbagai sektor di negara ini," katanya.

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) tentang statistik pekerja asing serta usaha yang diambil kerajaan bagi menempatkan semula pekerja tempatan dalam pelbagai sektor pekerjaan serta langkah mengurangkan pekerja asing secara berperingkat.

Berhubung usaha untuk menarik minat pekerja tempatan, Ismail berkata beberapa inisiatif diambil antaranya mewujudkan Standard Latihan Pekerjaan Kebangssan sebagai standard melatih pekerja bagi sesuatu bidang mengikut keperluan industri.

Kerajaan juga memperkenalkan Sistem Latihan Dual Nasional untuk menyediakan tenaga kerja mahir negara melalui kaedah latihan industri yang komprehensif dan terkini bagi memastikan kemahiran tenaga kerja dipertingkat, katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) tentang penyediaan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan sektor industri dan gas, Ismail berkata kerajaan telah menyediakan program latihan dengan jumlah terkini pelajar yang sedang mengikuti latihan kemahiran di 14 buah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia adalah seramai 1,518 orang.

"Terdapat 19 program latihan ditawarkan termasuk Megatronic, Quality Assurance Engineering dan Computer Neumerical Control," tambahnya.

Sehingga Februari lepas, katanya Jabatan Pengurusan Kemahiran telah mentauliah enam buah pusat bertauliah kerajaan yang menawarkan program bagi industri minyak dan gas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS