Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

DAP menerusi Sdr Lim Kit Siang sudah pun membayangkan kemungkinan musnahnya Pakatan Rakyat menjelang Rabu ini dengan terbentuknya kerjasama antara ADUN PAS dan ADUN Umno di Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika pembentangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) diluluskan bersama.

Sdr Lim Kit Siang turut mendakwa bahawa MCA dan Gerakan akan berkongsi kegembiraan dengan peristiwa Rabu ini kerana baginya itulah yang selama ini disebut-sebut oleh MCA dan Gerakan terhadap masyarakat Cina agar berhenti menyokong DAP.

Justeru kerana DAP berpakat dengan PAS, sedangkan PAS pula memperjuangkan pelaksanaan Hudud.

Jelas, secara sedar semua pihak membiarkan diri masing-masing terkepung dengan permainan licik Umno khususnya. Maka, formula paling mujarab menghadapi kelicikan Umno ini sebenarnya ialah terus bersatu dan jangan berpecah, kerana langit Umno tidak akan selamanya cerah! Percayalah.

Umno untuk menjayakan misi memusnahkan Pakatan, mereka sanggup bekerjasama dengan PAS untuk laksanakan hudud di Kelantan.

Di satu misi yang lain pula, Umno menolak pelaksanaan Hudud di Terengganu meskipun Kerajaan PAS Terengganu telah pun meluluskannya suatu ketika dahulu di persidangan DUN Terengganu.

Manakala di Selangor pula Umno menarik semula usulnya berkaitan Hudud bilamana Speaker DUN Selangor ketika itu, Hannah Yeoh daripada DAP menerima usul tersebut untuk dibahaskan. Ironis bukan? Tetapi sangat licik.

Peristiwa Rabu 18 Mac 2015 nanti jika gagal diurus dengan baik khususnya oleh rakan-rakan Pakatan daripada DAP akan mengakibatkan fenomena perpecahan BA berulang semula, dan sebenarnya ia tidak menguntungkan sesiapa selain Umno BN – si licik itu.

Bukan kerana beza

Saya percaya bukan itu yang kita semua mahu. Dalam Pakatan ini, seringkali kita bertelingkah bukan kerana kita berbeza tetapi adalah kerana kita gagal menguruskan perbezaan itu dengan sebaiknya.

Ini cabaran politik moden yang kita sudah janjikan perubahan kepada rakyat.

Kerjasama Pakatan melangkaui sebuah kedunguan yang disengajakan. Menolak politik pembodohan yang terkepung akibat kegagalan mengurus perbezaan.

Apatah lagi Pakatan itu semulusnya terbentuk hasil daripada harapan generasi muda Malaysia untuk melihat Malaysia yang lebih aman, sejahtera, berkeadilan dan berkebajikan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama masing-masing.

Generasi muda Malaysia yang mendambakan pengurusan politik bijak dan saling hormat, saling sepakat, bukan politik jerat peninggalan jua kesan dasar pecah dan perintah yang diamalkan berdekad lama sejak zaman penjajah.

Jangan menari dengan rentak itu. Henti berfikir dengan cara lama kerana yang menjadi mangsa akhirnya rakyat, kita semua.

Jujur, saya sangat berharap agar pemimpin kita dan pemimpin seluruh rakyat Malaysia ini iaitu khususnya Sdr Lim Kit Siang upaya melihat keperluan ini.

Jangan berpecah hanya kerana sedikit kita berbeza. Apatah lagi Hudud untuk Kelantan itu sudah lebih 20 tahun diperjuangkan di Kelantan, sebelum Pakatan kita bentuk bersama.

Jiwa emas

Jangan kerana perbezaan sedikit ini walaupun kita tahu ia sangat signifikan, menjadi punca kemusnahan harapan kami anak-anak muda Malaysia.

Kalian sendiri mengajar kami akan makna perpaduan dan kerjasama melangkaui soal bangsa dan agama, maka tolonglah terus menjadi guru politik dan perpaduan yang terbaik kepada kami melebihi para ilmuwan yang mendidik kami di menara-menara gading itu.

Saya sangat berharap Sdr Lim Kit Siang, yang saya pandang sebagai antara pemimpin hebat berjiwa emas dalam Pakatan mendengar harapan ini dan saya bahkan siap menemuinya untuk memanjangkan lagi harapan ini jika beliau sudi.

Isu ini bukan semudah ABC untuk kita hadapi dan selesaikan.

Keutuhan PR bahkan bagi memastikan PKR itu sendiri yakni satu lagi rakan komponen PR pula tidak terpaksa berpecah juga akibat asakan permainan licik Umno ini, semuanya kini tergantung kepada kebijakan Sdr Lim Kit Siang dan DAP.

Umno kini hanya menunggu masa untuk berkenduri besar selepas Pakatan musnah. Seterusnya mereka akan kembali sepertimana dulu yang hanya bicara dan penting politik kroni dan diri sendiri.

Sedangkan rakyat terus dihimpit dan diperbodohkan. Permainan kaum akan terus diagendakan.

Maka anak-anak muda Malaysia yang berani akan terus dipasung dan dikongkong kemaraan mereka. Didera dengan pelbagai akta dan dasar yang saling merenggangkan antara satu sama lain.

Sejarah tak mungkin padam

Tolonglah, kami mempunyai pemimpin-pemimpin yang berjiwa dan berfikiran hebat, iaitu anda semua pemimpin tertinggi di dalam Pakatan Harapan Rakyat.

Sdr Lim Kit Siang sebagai pemimpin paling lama dan berpengalaman kami harapkan untuk terus menjadi pemimpin yang memperkukuhkan Pakatan dengan kebijakan dan pengalaman emas yang beliau miliki.

Hudud di Kelantan itu sudah menjadi sejarah dan ia tidak mungkin akan dipadamkan. Itulah pendirian kami semua sejak awal. Sejarahnya telah bermula lebih kurang 20 tahun lepas.

Pun begitu, dalam sejarah itu, tidak mustahil akan ada sejarah persefahaman yang jauh lebih hebat dan saling hormat khususnya di antara PAS dan DAP.

Jujur saya melihat ia akan lebih manis untuk terus dikenang dan dijadikan pengajaran kepada kami semua dan generasi kita akan datang jika pemimpin hebat seperti Sdr Lim Kit Siang dan DAP seluruhnya berjaya memahami ini dengan sebaiknya.

Ia akan menjadi fakta paling gemilang dalam usaha kita memaknai perpaduan rakyat kita yang berbilang!

Kelicikan Umno mesti sama-sama kita hentikan dengan kita terus bersatu dan menolak politik berpecah akibat kegagalan mengurus perbezaan.


AIMAN ATHIRAH AL JUNDI pengarah pilihan raya Muslimat PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS