1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak Oktober lagi berada dalam sasaran kritikan -- dan kepemimpinan Umno yang dekat dengan presidennya turut dilanda tekanan isu tersebut.
Sejak isu itu dibangkitkan dengan konsisten beberapa bulan lepas, termasuk oleh Dr Mahathir Mohamad, muncul desas-desus penyokong kerajaan di Dewan Rakyat tidak bersedia membelanya.
Kelihatannya, waktu itu, hanya Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang ghairah membela 1MDB, termasuk memberi jaminan lebih RM7 bilion dari pelaburan pesisir pantai di Cayman Islands akan dipulangkan ke Malaysia tahun ini.
Sejak isu ini tidak bertambah reda, malah terus menggugat 1MDB dan Datuk Seri Najib Abdul Razak, sekumpulan besar pemimpin Umno bahagian menyatakan sokongan kepada presiden mereka dalam satu pertemuan di bangunan Umno semalam.
Tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tidak hadir -- dengan itu membuka spekulasi baru wujudnya pergeseran antara dua pemimpin atasan negara ini.
Muhyiddin pula mengeluarkan kenyataan berani dan tegas Jumaat lalu, sehari selepas Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan kabinet yakin tiada salah laku pada syarikat itu.
Jabatan Audit Negara boleh menyiasat 1MDB sebelum laporan diserahkan kepada jawatankuasa parlimen, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), kata PMO lagi.
Tetapi Muhyiddin pula berkata PAC boleh menyiasat kontroversi 1MDB tanpa perlu menunggu hasil audit Jabatan Audit Negara.
Beliau juga mengingatkan bahawa kerajaan tidak bersedia menyelamatkan (bailout) syarikat pelaburan itu yang berhutang RM42 bilion.
Timbalan perdana menteri juga tidak bersetuju dengan penjualan tanah projek-projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia untuk melangsaikan hutang 1MDB.
Menariknya, walaupun kenyataannya dilihat berani dan berbeza daripada PMO, Muhyiddin menegaskan beliau tidak bercanggah dengan perdana menteri.
Boikot atau bukan boikot?
Syed Akbar Ali, penulis blog pro-Umno, membangkitkan persoalan tersebut dan mempertikaikan alasan kononnya lebih 30 orang yang tidak hadir itu, termasuk Muhyiddin, sibuk dengan urusan lain dan mereka dimaklumkan lewat.
Penulis blog itu pula mendakwa hanya 153 ketua bahagian yang hadir. Sebahagian besar yang tidak hadir itu ketua-ketua bahagian Johor dan Sabah.
Kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu diulang ketua Umno Cheras Syed Ali Alhabshee, tokoh yang dilihat dekat dengan penganjuran pertemuan setiakawan dengan presiden petang semalam.
Syed Ali (kanan) berkata, 31 pemimpin Umno bahagian yang tidak hadir bukan memulaukan acara itu, sebaliknya ada sebab tersendiri, termasuk notis singkat diberikan.
“Jadi kita tidak boleh harapkan kesemua 191 ketua bahagian akan hadir. Apa yang penting 160 orang ada di sana dan ini lebih daripada dua pertiga.
“Mereka semua ini ketua bahagian dan bukan wakil. Kami yang minta untuk berjumpa perdana menteri dan bukan sebaliknya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Syed Akbar juga mendengar desas-desus bahawa Najib keluar lebih awal dalam keadaan tergesa-gesa dan enggan bertemu dengan media. Kenyataan isu 1MDB juga dikeluarkan oleh PMO, tambahnya.
"Presiden jelas sekali mengelak isu ini. Ia sama sekali bukan berita yang baik - buat Najib," katanya hari ini.
Namun, ketua Umno Cheras menafikan kempen boikot oleh Muhyiddin dan lebih 30 pemimpin lain.
"Mereka yang mendakwa adanya pemulauan cuba memprovokasi. Pada masa lepas, Muhyiddin pernah tidak hadir, jadi apa masalahnya?" kata Syed Ali lagi.
Beliau berkata Najib menyatakan komitmen kepada semua yang hadir bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam sebarang penyelewengan urus niaga 1MDB.
"Beliau (Najib) juga sangat terbuka. Ia seumpama pertemuan keluarga. Beliau bercakap dari hatinya dan menyakinkan kita bahawa ia tidak akan disorok. Memang ada komitmen untuk bertindak," katanya.
Syed Ali juga menuduh segelintir orang Umno menari mengikut gendang pembangkang dalam isu 1MDB.