Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kabinet tak sebulat suara isu 1MDB?
Diterbitkan:  Mar 9, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

PAS membangkitkan sama ada kabinet tidak sebulat suara dalam isu 1MDB yang dihimpun asakan bertali arus laman pembocor maklumat Sarawak Report dan pembangkang.

Naib presidennya Datuk Husam Musa berkata kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan keperluan pengauditan telus, bebas dan menyeluruh menunjukkan kabinet tidak sebulat suara dalam isu itu.

“Perkara ini menjadi semakin serius setelah timbalannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka mengeluarkan kenyataan seolah-olah menampar Perdana Menteri buat kali pertama mengenai isu 1MDB.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya menyokong tindakan berani Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Muhyiddin pada 6 Mac berkata, pengauditan telus, bebas dan menyeluruh terhadap akaun 1MDB penting untuk membersihkan nama syarikat dana pelaburan milik kerajaan itu daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku.

Katanya, audit forensik hendaklah dilaksana untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urusniaga, seterusnya memulihkan reputasi dan mengembalikan keyakinan pelabur, lapor Bernama.

Audit itu perlu dibuat, katanya, ekoran tuduhan penyelewengan, termasuk usahasama dengan PetroSaudi, dibuat berhubung urusniaga pada 2009, yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit firma Deloitte.

Dalam kenyataannya hari ini, Husam berkata Muhyiddin melangkah setapak ke hadapan dengan meminta audit lebih meluas dilakukan.

“Perkara ini jelas telah membuka ruang untuk membuka 'pekung'. Apabila dibongkarkan, ini merupakan satu tekanan yang kuat yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin ke atas bosnya sendiri,” katanya.

Beliau juga membangkit tindakan Muhyiddin mengeluarkan kenyataan berasingan dalam isu itu.

Perdana menteri sebelum ini mengarahkan Ketua Audit Negara untuk meneliti secara bebas akaun 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Rabu lalu, laporan itu kemudian akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS