Tidak timbul soal perpecahan jika ada pihak ingin mencabar jawatan presiden pada Muktamar Tahunan ke-61 PAS Pusat Jun depan, tegas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, ada kemungkinan berlaku pertandingan pada pemilihan kali ini walaupun ada yang menyatakan jawatan presiden yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak perlu dicabar.
Menurut Mujahid secara tradisinya jawatan presiden PAS memang tidak pernah dicabar selepas zaman bekas presiden parti Islam itu Tan Sri Asri Muda yang meletak jawatan pada Oktober 1982.
"Tetapi masa berlalu, ahli (PAS) lebih matang. Apabila ada satu pencalonan untuk kerusi presiden, walaupun dianggap tidak pernah dibuat, tetapi secara perlembagaan ia bukan satu kesalahan kerana PAS mengamalkan demoraksi," kata Mujahid kepada pemberita di George Town hari ini.
Beliau berkata cabaran untuk jawatan presiden mungkin berlaku kerana ahli mengharapkan pemimpin yang boleh membawa hasrat parti dalam keadaan sekarang.
"Faktor Pakatan Rakyat (PR) juga mempengaruhi trend pencalonan seolah-olah ada dalam PAS yang melihat PR perlu dikekalkan dan untuk mengekalkannya, ia memerlukan pemimpin yang dinamik, terbuka dan boleh bekerjasama dengan rakan sekutu," katanya.
Mujahid, yang juga anggota Parlimen Parit Buntar berpendapat pertandingan jawatan presiden harus diterima secara terbuka dan memahami semangat serta pengaruh perlembagaan parti yang mengamalkan pemilihan secara demokratik.
Ditanya mengenai kebimbangan berlaku pergolakan dalam parti jika jawatan presiden dicabar, Mujahid berkata ia perkara biasa dalam mana-mana parti.
"Begitulah tanggapannya akan berpecah...tetapi apabila memahami secara matang kita bertanding, kalau menang maka kemenangan itu adalah atas pemilihan perwakilan, kalau kalah juga ia atas pemilihan pewakilan.
"Jadi kalau kita kata demokrasi, kita bersedia untuk menang dan kalah. Tidak timbul soal nak pecah.
"Saya tidak bersetuju kalau selepas pertandingan menjadikan parti itu pecah, dan juga tidak bersetuju atas alasan itu kita kata jangan bertanding.
"Kita harus kembali kepada semangat bersaing," katanya.
- Bernama