Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad "menyambut" tumbukan oleh individu yang tidak dikenali dengan laungan takbir.
Menceritakan kembali kejadian Dzulkefly dipukul, isterinya Azlin Hezri berkata, pada jam 6.30 pagi, pemimpin PAS itu dihampiri dua lelaki yang menunggang motosikal.
Ketika meletakkan kereta di kawasan rumah, Azlin berkata, salah seorang lelaki tersebut membuka pintu kereta Dzulkefly dan menumbuk di bahagian kanan muka Dzulkefly.
Selepas ditumbuk, Dzulkefly kemudian melawan kembali sambil bertakbir sekuat hati beberapa kali, kata Azlin.
"Sebenarnya semasa dia balik daripada masjid dan meletakkan kereta di perkarangan rumah, belum sempat pintu pagar ditutup, ada dua orang lelaki.
"Seorang daripadanya memakai topi keledar terus menuju ke kereta Dr (Dzulkefly) dan buka pintu kereta dan terus tumbuk muka Dr sebelah kanan.
"Kemudian Dr turun (kereta) dan lawan balik, dia takbir kuat-kuat banyak kali sehingga orang tersebut tergamam dan lepas itu dia (individu tersebut) pukul Dr dengan besi.
"Alhamdulillah, tiada jahitan yang dikenakan terhadap Dr," kata Azlin ketika dihubungi Malaysiakini.
Bibir bengkak, dahi luka
Ditanya mengenai kenyataan “kenapa kurang ajar sangat” yang ditujukan kepada pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu, Azlin berkata, Dzulkefly tidak sempat untuk berkata apa-apa.
Menurut Azlin lagi, Dzulkefly yang hanya mengalami luka di dahi dan bengkak di bibir dan kini baru selesai memberi kenyataan kepada pihak polis yang datang ke rumah berhubung kejadian itu.
"Dia OK. Cuma bibir bengkak, luka di dahi. Dr memang jenis yang tidak akan berdiam diri. Dia memang akan melawan balik.
"Ini baru selesai Dr buat laporan polis. Polis datang ke rumah. Dr sekarang berehat di rumah dan selepas ini tidak pasti sama ada dia akan ke Putrajaya jaya untuk urusannya atau tidak," tambahnya lagi.
Pagi tadi, Dzulkefly diserang oleh individu tidak dikenali di rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam selepas selesai solat subuh.
Berikutan kejadian serangan itu, PAS Selangor akan mengarahkan kawalan keselamatan ke atas pemimpin PAS negeri itu dipertingkatkan agar cubaan pihak yang ingin mencetuskan provokasi dapat dihalang.