Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan siapakah golongan “barua” yang dimaksudkan oleh ahli jawatankuasa PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dalam parti itu.
“Tanya (Nik) Abduh-lah, sebab dia yang cakap. Kalau dia kata ada barua dalam PAS, dia kena buktikan.
“Setahu saya tidak ada barua dalam PAS. Saya pun nak tahu (siapa). Kita sama-sama nak tahu,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Nik Abduh mendakwa terdapat " barua ” di kalangan ahli PAS yang lebih taat setia kepada Pakatan Rakyat berbanding kepada parti itu sendiri.
Nik Abduh ( kanan ) yang juga anggota parlimen Pasir Mas mendakwa, kelompok itu juga cuba memisahkan pemikiran Hadi Awang dengan arwah ayahnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Hanipa hari ini menjelaskan, apa yang berlaku dalam PAS hanya perbezaan pendapat seperti lazimnya dalam mana-mana parti politik.
"Bila berlaku pemilihan ia semakin rancak.
“Muktamar ini macam perlawanan persahabatan, kadang-kadang ada yang main kasar kena juga kad merah. (Ini) normallah dalam parti,”katanya.
Hanipa ketika ditanya sama ada menjadi antara individu yang mahu menggulingkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjawab “tidak mahu melayan khabar angin”.