Selepas harganya menurun sejak beberapa bulan lalu, harga bagi RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik 25 sen, berkuatkuasa tengah malam ini.
Mulai 1 Mac, harga baru RON95 ialah RM1.95 seliter, RON97 (RM2.25 seliter) dan diesel (RM1.95 seliter).
“Harga baru ini akan berkuatkuasa bagi bulan Mac 201,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan, katanya, akan mengikuti perkembangan harga kos produk dan kadar pertukaran matawang setiap masa untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya.
Bulan lepas, harga RON95 turun ke paras terendah sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009, didorong oleh kejatuhan mendadak harga minyak dunia, yang kini agak bertambah baik.
Harga bahan api tertakluk kepada sistem apungan terurus sejak Disember tahun lalu selepas kerajaan menghapuskan sistem subsidi.
Pada masa itu, RON95, RON97 dan diesel masing-masing dijual pada harga RM2.26, RM2.46 dan RM2.23 selitar.
Pada 1 Januari, bagaimanapun, RON95, RON97 dan diesel masing-masing dijual pada harga RM1.91, RM2.11 dan RM1.93 seliter dan bulan lepas harganya terus menurun.