Spekulasi mengenai majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak – Nooryana Najwa – dengan tunangnya Daniyar Kesikbayev kini semakin giat diperkatakan di kalangan pengguna Internet.
Spekulasi itu bertiup kencang selepas gambar yang dikatakan kad jemputan perkahwinan mereka, tersebar luas di media sosial.
Pejabat Perdana Menteri – apabila ditanya – masih membisu mengenai perkara itu. Ibu Daniyar juga enggan mengesah atau menafikan mengenai perkahwinan itu.
Dalam reaksi melalui emel kepada Malaysiakini , Maira Kesikbayev, melalui jurucakap di New York itu, berkata: "Kami tidak ada komen pada masa ini."
Jemputan perkahwinan itu diletakkan dalam kotak warna emas dan warna putih, termasuk skrol serta kad untuk mereka yang dijemput bagi mengesahkan kehadiran masing-masing.
Kad itu menyatakan bahawa perkahwinan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada jam 8 malam 28 Mac.
Nooryana dan Daniyar dilaporkan bertemu di Amerika Syarikat, di mana pasangan itu melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.
Tinjauan Malaysiakini mendedahkan bahawa tempat KLCC untuk 28 Mac telah pun ditempah tetapi ia tidak dapat disahkan untuk siapa.
Nooryana, 26, adalah anak sulung daripada dua orang anak Najib dengan Datin Rosmah Mansor. Najib juga mempunyai tiga lagi anak daripada perkahwinannya sebelum ini dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar.
Bakal menantu perdana menteri itu mempunyai hubungan dengan presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev, yang merupakan abang kepada bapa tiri Daniyar.
Pada tahun 2012, Daniyar diheret ke kancah kontroveri melibatkan pertikaian undang-undang di antara ibunya dengan bapa tirinya Bolat Nazarbayev.
Bolat, dalam saman terhadap Maira di Mahkamah Agung Manhattan, menuduh bekas isterinya itu menipunya membabitkan sebuah apartmen bernilai AS$20 juta di New York dan membelanjakan AS$75 juta wangnya untuk membeli barang kemas.
Dia juga menuduh Maira sedang diburu oleh Interpol berkaitan kes penculikan dan peras ugut.
Menurut New York Post , dokumen mahkamah juga mendakwa Daniyar telah memalsukan kelayakan pendidikannya untuk masuk ke Universiti Columbia.
Maira telah menafikan yang dia dikehendaki oleh pihak berkuasa atau telah melakukan sebarang salah laku.
Seorang pembantu rapat Rosmah kemudiannya menyifatkan kontroversi itu sebagai "telah dibesar-besarkan".
Dalam kad perkahwinan yang disebarkan itu, nama keluarga Danayir "Nazarbayev", yang telah digunakan secara meluas dalam media, digugurkan dan menggunakan nama keluarga lamanya "Kasikbayev".
Ibunya telah dilaporkan menukar nama keluarga Danayir kepada Nazarbayev sebelum ini, sama dengan nama keluarga Presiden Kazakhstan itu.
Nama Maria menjadi tumpuan berita sekali lagi pada tahun 2013 apabila didedahkan bahawa cincin berlian kontroversi bernilai RM24 juta yang telah dibawa masuk ke Malaysia atas nama Rosmah, adalah untuk dilihat oleh Maria.
Maria ketika itu dikatakan menginap di kediaman Perdana Menteri di Putrajaya sebagai tetamu.